Susulan jangkaan cuaca panas berlarutan sehingga Ogos, Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) akan bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan berlakunya fenomena jerebu.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata pihak kementerian ketika ini melakukan pemantauan di kawasan yang sensitif’ seperti tanah gambut, kawasan yang mudah terbakar dan kawasan lain yang sering berlaku pembakaran terbuka.
"Ada kemungkinan (berlaku jerebu) dan kita (kementerian) akan mengadakan mesyuarat tentang isu jerebu ini dalam masa terdekat.
"Sebenarnya kita sudah ada sistem untuk bersiap sedia menghadapi jerebu cuma dalam dua atau tiga tahun ini sebab Covid (Covid-19) jadi bila isu Covid ini kita tengok masalah pembakaran dan sebagainya kurang, (aktiviti) industri pun kurang, jadi kali ini keadaan sudah kembali sedia kala jadi kita bersedia untuk berdepan dengan fenomena tersebut,” katanya di Kuala Terengganu.
Negara ketika ini mengalami musim peralihan monsun dan negeri di Utara dan Pantai Timur mencatatkan suhu lebih tinggi.
Jabatan Meteorologi dalam satu laporan berkata, daerah Jeli merekodkan cuaca panas pada gelombang haba tahap dua yang suhu hariannya dijangka boleh mencecah sehingga 40 darjah Celsius.
Cuaca panas yang berpanjangan tanpa hujan dikhuatiri akan menyebabkan beberapa kawasan dilanda jerebu.
Sementara itu jelas Nik Nazmi, pihak kementeriannya juga akan melakukan persiapan dari segi bekalan air termasuk bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sekiranya berlakunya isu kekurangan bekalan air ekoran taburan hujan yang kurang.
Comments