Parlimen perlu dibuka segera dengan Notis Panggilan Mesyuarat wajar dikeluarkan seawalnya pada minggu hadapan.
Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pembukaan sidang Dewan Rakyat dengan itu boleh dilakukan pada hujung Julai dengan tempoh persediaan selama sebulan.
"Kita tahu dalam setiap sidang Parlimen ia perlu diberikan notis dan notis ditetapkan oleh Peraturan Mesyuarat harus dalam tempoh 28 hari.
"Jadi saya fikir kalau notis ini boleh dikeluarkan sesegera mungkin hari Isnin ini, 21 Jun notis dikeluarkan, justeru kita boleh bersidang paling awal pada minggu ketiga Julai," kata Shamsul dipetik Astro Awani.
Pemberian notis itu, kata Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya tersebut, sesuai dengan persiapan yang sedang dilakukan di peringkat negeri-negeri yang dilaporkan akan mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bulan Ogos.
"Jadi saya fikir ini perlu disegerakan dan saya percaya Parlimen sebagai satu cabang yang penting selain eksekutif dan juga kehakiman sewajarnya bertindak mengikut apa yang telah disarankan atau diputuskan oleh Yang di-Pertuan Agong. Maka ia harus sedia bersidang selewat-lewatnya minggu ketiga sesuai dengan notis 28 hari yang tersedia di dalam peraturan mesyuarat.
"Sebab kalau kita lihat di negeri-negeri lain, kita tengok di Perlis akan bersidang pada 24 Ogos, Pahang difahamkan pada 16 Ogos, Selangor dalam bulan Ogos juga," katanya lagi.
Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja pada 16 Jun lalu dalam kenyataan yang dikeluarkan, menitahkan sidang Parlimen dilaksanakan pada kadar segera.
Majlis Raja-raja bertitah bahawa perkara itu penting bagi menghormati mekanisme semak dan imbang antara cabang eksekutif, legislatif dan kehakiman untuk menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti serta bertanggungjawab kepada rakyat terutama dalam hal-ehwal kewangan dan perbelanjaan negara.
Comments