Norma baharu dalam suasana pandemik Covid 19 memaksa para guru menjalani rutin kerjaya dalam suasana yang rumit dan sama sekali tidak pernah dibayangkan sebelumnya.
Untuk itu, Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) dalam perutusan sempena Hari Guru pada hari ini mengharapkan para guru akan lebih kreatif dan inovatif dalam usaha mendidik anak murid yang tidak lagi dilakukan secara konvensional.
"Di kala pandemik ini, cabaran menjadi seorang guru semakin getir. Norma baharu memaksa para guru menjadi lebih kreatif, bertindak pro-aktif dan mengusahakan segala pendekatan di luar kerangka keselesaan dan konvensional demi memandaikan anak-anak bangsa.
"Hakikatnya, para guru adalah tonggak pendidikan negara dan merekalah harapan kita untuk mendidik anak bangsa sekaligus mencorakkan masa depan negara. Jika mereka hidup dengan tekanan dan bebanan, hasil kemenjadian murid yang kita mahukan pasti tidak akan dapat dicapai.
"Maka kembalikanlah kegembiraan dan kasih sayang dalam kalangan para guru yang pernah mereka kecapi dahulu walaupun singkat, kerana kegembiraan mereka adalah sinar kejayaan negara dan generasi mendatang," kata mereka dalam satu kenyataan.
Jawatankuasa Pendidikan itu juga tidak lupa pesanan Almarhum Prof Diraja Ungku Aziz:
“Kita harus kembali ke akal fikir, merujuk kepada kebijaksanaan dan mencari segala kepandaian untuk berhadapan dengan cabaran. Kita harus menyusur akar bangsa, mencari ke dalam semak dan belukar rahsia kejayaan dan kekuatan anak bangsa dalam menghadapi cabaran zaman.”
Justeru, kata mereka, guru adalah penyusur, peneroka dan pembina asas kejayaan bangsa.
Mereka juga mengungkapkan makna perkataan guru yang sebenarnya dan mungkin tidak diketahui oleh kebanyakan rakyat yang diambil daripada bahasa Sanskrit iaitu “Gu bermaksud kegelapan dan Ru bermaksud menyelamatkan seseorang daripada kegelapan.”
"Secara semantiknya, perkataan guru merujuk kepada insan yang mencerahkan, yang memberi cahaya, ilmu, petunjuk, teladan dan hikmah, malah seorang guru jugalah yang menabur makna dalam kehidupan murid-muridnya.
"Seorang penyair Arab, Asy-Syauqi pernah menuturkan suatu syair yang sangat indah tentang guru. Kata Al- Syauqi: “Bangunlah dan sambutlah seorang guru, lalu berikanlah penghormatan terhadapnya. Percayalah, hampir-hampir sahaja seorang guru itu menjadi seorang Rasul.”
"Sesungguhnya, guru adalah nadi penggerak utama yang sentiasa berkorban tenaga dan masa hanya kerana mahu memastikan setiap daripada kita tidak mendewasa dalam kejahilan," kata mereka lagi.
Jawatankuasa Pendidikan PH dengan rendah hati mengucapkan Selamat Haru Guru kepada para guru yang sedang bertugas dengan penuh pengorbanan dan dedikasi.
"Kami mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada semua warga pendidik walau di mana anda berada. Kalian adalah insan istimewa kerana telah menyuburkan jiwa-jiwa yang merdeka.
"Guru bukan sahaja mendidik, malah menumbuhkan jati diri anak didik hingga mampu mendepani kehidupan dengan dengan berani. Guru Penyubur Jiwa Merdeka," kata mereka lagi.
Juga diungkapkan puisi indah yang merakam jasa guru dari Sasterawan Negara, Usman Awang:
“Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat”
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH Dr Maszlee Malik, Nik Nazmi Nik Ahmad (KEADILAN), Teo Nie Ching (DAP) dan Datuk Dr Hasan Baharom (Amanah).
Comentários