Noh Omar patut dipecat prestasi buruk kendali banjir Selangor - Kit Siang



Prestasi buruk Menteri Persekutuan Tan Sri Noh Omar mewajarkan beliau dipecat daripada jawatan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor.


Menurut supremo DAP, Lim Kit Siang, pemimpin Umno Selangor itu malah tidak wajar lagi duduk di dalam kabinet kerana gagal mengendalikan MKN dengan baik.


"Noh Omar bukan sahaja perlu disingkirkan daripada jawatannya sebagai MKN Negeri Selangor, beliau juga perlu dipecat daripada jawatannya sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi kerana prestasi buruknya dalam mengendalikan bencana banjir besar di Selangor.


"Bagaimana Noh boleh mendapat markah 90% untuk prestasi 100 hari pertamanya sebagai Menteri sedangkan apa yang beliau layak terima hanyalah -90% untuk prestasinya sebagai Pengerusi MKN Selangor dengan pengurusan buruknya dalam bencana banjir besar di Selangor.


"Memang layaklah beliau dihentam teruk semasa melawat pusat pemindahan di Selangor oleh seorang mangsa banjir mengenai pengalaman mengerikan berhadapan situasi banjir dengan respons pihak kerajaan yang lambat menyelamatkan mangsa terperangkap.


"Sikap tidak bertanggungjawab dan kecuaian Noh ditonjolkan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, yang berkata jika beliau menjadi Pengerusi MKN Selangor, beliau akan memanggil tentera untuk membantu menguruskan banjir besar itu," kata Kit Siang.


Tegas Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, prestasi Noh telah memalukan Jabatan Perdana Menteri kerana MKN berada di bawah PM dan sejak November lalu jawatan pengerusi diserahkan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi itu.


"Adakah Noh Omar mengadakan sebarang mesyuarat MKN Selangor sebelum banjir besar di Selangor hujung minggu lalu?", tanyanya.


Selain itu, Kit Siang juga mengkritik Dewan Rakyat yang enggan mengadakan perbahasan khas mengenai banjir besar di Selangor dan Pahang yang telah meragut 27 nyawa


Katanya, walaupun Ahli Parlimen DAP Bagan, Lim Guan Eng meminta seorang Menteri memberi penjelasan mengenai langkah-langkah yang diambil dalam isu itu, tiada Menteri yang menjawab dan Speaker, Azhar Azizan Harun, enggan membenarkan perbahasan atas alasan ia bertentangan dengan Aturan Urusan Mesyuarat.


"Akibatnya, kita bukan sahaja mempunyai Menteri "Kelas D", kita mempunyai Kabinet "Kelas D" dan Parlimen "Kelas D".


"Saya bersetuju sepenuhnya dengan gesaan Ketua Pembangkang Parlimen, Anwar Ibrahim, supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pengurusan bencana banjir besar di Selangor dan Pahang diadakan, berserta dengan Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai tindak balas lambat kerajaan terhadap bencana banjir ini," katanya lagi.


0 comments