top of page

Nilai semula tahap keselamatan asrama, sistem pengawasan pelajar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 4
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Malaysia menggesa semua agensi berkaitan menilai semula tahap keselamatan asrama di institusi pendidikan, termasuk pemasangan sistem pengawasan yang efektif bagi mengelakkan insiden kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir baru-baru ini berulang.


Naib Ketuanya, Chiew Choon Man (gambar) berkata, pihaknya juga menyeru agar penilaian dilakukan termasuk mengetatkan prosedur keselamatan asrama.


"Tragedi ini menuntut tindakan yang lebih luas. AMK menggesa semua agensi berkaitan menilai semula tahap keselamatan asrama di institusi pendidikan, termasuk pemasangan sistem pengawasan yang efektif, pengetatan prosedur keselamatan, serta penyediaan saluran aduan yang berkesan bagi menangani segala masalah yang akan mendatangkan risiko keselamatan dan kesihatan.


''Dalam suasana duka ini, AMK menyambut baik pendirian tegas Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar) yang menuntut agar siasatan dijalankan secara telus, menyeluruh dan berteraskan kedaulatan undang-undang.


''AMK sentiasa berada di barisan hadapan mempertahankan prinsip kedaulatan undang-undang dan keadilan untuk semua.


''Kami merakamkan ucapan takziah dan rasa simpati yang mendalam atas pemergian adik Zara Qairina Mahathir. Kehilangan seorang pelajar yang begitu muda dalam keadaan penuh persoalan membangkitkan kesedihan serta keprihatinan seluruh rakyat,'' katanya dalam satu kenyataan.


Dengan penyiasatan yang rapi dan secara profesional, Choon Man menzahirkan keyakinan kebenaran akan terserlah serta mana-mana pihak yang bertanggungjawab akan dibawa ke muka pengadilan


Beliau berkata, pihaknya juga mengambil maklum bahawa polis telah melengkapkan siasatan termasuk memanggil sekitar 60 orang saksi.


''Kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya. Kami akan terus memantau rapat perkembangan kes ini dan bersolidariti.


''Ia demi memastikan keadilan buat adik Zara ditegakkan. 'Keadilan untuk Zara' adalah tuntutan bersama seluruh rakyat.


''Tindakan tegas perlu diambil agar keadilan terbela dan memastikan semua asrama serta sekolah kekal sebagai persekitaran yang selamat dan kondusif untuk para pelajar,'' katanya lagi.


Zara Qairina dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia sehari kemudian di Hospital Queen Elizabeth I, di Kota Kinabalu.


Sebuah media tempatan sebentar tadi melaporkan bahawa kertas siasatan berhubung kematian pelajar itu sudah diserahkan kepada AGC hari ini.


Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail ketika dihubungi mengesahkan sudah menghantar kertas siasatan berkenaan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page