Nilai Rakyat Bukan Sekadar Satu Undi



Oleh: Aidi Amin

 

ULASAN: Sampai bila kita mampu menoleh ke arah lain apabila berlakunya kezaliman oleh pemerintah? Apabila Perdana Menteri ditanyakan oleh wartawan jika Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan sesuai ketika bencana, secara berseloroh dia menjawab rakyat yang harus diajukan soalan ini. Di manakah sifat kebertanggungjawaban seorang PM?

 

Apakah nasib rakyat akan terus diperlekeh dalam percaturan kuasa politik? Kalau nasib ‘merpati’ lebih terjamin di sebalik tirai besi, sudah menjadi nasib kita yang marhaen sentiasa diuji Tuhan agar diberi kesedaran akan kebolehupayaan diri setelah melalui cabaran. Semoga hidayah ini meyakinkan kita untuk cekal turun mengundi demi masa depan negara.

 

Kita tidak minta keajaiban dalam urus tadbir negara tapi sekadar laksanakan amanah sebaik mungkin mengikut standard ‘bare minimum’. Kalau diuraikan segala permasalahan mungkin berjela tetapi saya ingin tegaskan dua perkara; nilai matawang dan impak kepada kos hidup manakala kesiapsiagaan kerajaan menghadapi bencana.


Tadbir negara tanpa polisi jelas

 

Baru-baru ini Menteri Kewangan kita Tengku Zafrul berkata, ringgit menyusut sebanyak 7.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sejak awal 2022, namun mata wang serantau dan negara maju lain juga turut mencatatkan penurunan yang sama.


Tambahan pula beliau tekankan, sebagai sebuah negara pengeksport, nilai ringgit yang rendah berbanding dolar AS juga memberi kesan positif kepada pendapatan eksport negara. Nasihat dia jangan tengok pada satu aspek sahaja kerana pengeksport Malaysia gembira kerana barangan eksport mereka menjadi lebih kompetitif.

 

Pada bulan lepas, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata di sidang Dewan Rakyat, import makanan yang direkod negara pada suku pertama tahun ini sahaja sudah mencecah RM17.8 bilion. Nilai import makanan Malaysia dijangka lebih tinggi tahun ini melepasi paras tertinggi yang pernah direkodkan tahun lalu iaitu sebanyak RM63 bilion setahun.


Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam laporannya sebelum ini memaklumkan, pada 2020, Malaysia mengimport RM55.5 bilion produk makanan berbanding eksport sebanyak RM33.8 bilion, dengan nilai import makanan terkumpul berjumlah RM482.8 bilion dalam tempoh 10 tahun, berbanding eksport berjumlah RM296 bilion.

 

Dalam erti kata lain, kalau nilai matawang kita semakin merudum maka perbelanjaan import semakin membebankan tetapi yang masih untung adalah pengeksport. Menteri Kewangan mahu utamakan siapa sebenarnya? Mungkin penguasaan ilmu ekonomi saya bukanlah tahap menteri, tetapi berikanlah pencerahan memandangkan menteri sudah ada saluran Youtube.


Mahu PRU waktu banjir

 

Saya kagum dengan semangat ditunjukkan pemimpin politik yang sanggup meredah banjir sekiranya PRU berlangsung. Persoalan yang wujud dalam pemikiran saya adakah mobilisasi bagi menghadapi PRU ketika bencana tidak menjadi masalah, adakah kesiapsagaan kerajaan dalam membantu mangsa banjir akan diberi perhatian terlebih dahulu?

 

Jentera bantuan bencana banjir adalah di bawah Jawatankuasa Bantuan Bencana Alam (NDRC) dengan sekretariatnya dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN), Bahagian Keselamatan Negara, Jabatan Perdana Menteri yang mempunyai objektif utama untuk menyelaraskan operasi bantuan dalam menyediakan bantuan kewangan daripada negara di bawah Tabung Bantuan Bencana.

 

Tahun lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad yang menjaga Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menyelar laporan bahawa agensi itu tidak terlibat dalam pengurusan banjir kerana kos terlalu tinggi.


Beliau mengulas laporan tersebut adalah suatu yang tidak bertanggungjawab, tidak betul dan mengelirukan banyak pihak. Tetapi kita masih dibelengu persoalan adakah NADMA sudah benar-benar bersedia? Saya berharap tanggungjawab bersama kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan pusat sudah dibincangkan.

 

Kita tidak mahu meminta lebih-lebih daripada kerajaan kerana masih banyak permasalah rakyat yang belum terjawab. Semangat kekeluargaan yang disaran oleh PM disambut baik tetapi yang kami minta adalah semangat 'kesepasukanan' menteri-menteri dalam menjamin kebajikan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, kaum, agama dan fahaman politik.

 

_________________________________________________________________________________

Penulis merupakan Setiausaha KEADILAN Cabang Ampang

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER