Nilai politik berdasarkan kerja, bukan sentimen – Yuneswaran
- Redzuan Shamsudin

- Jun 21
- 1 min read

Politik masa kini perlu dinilai berdasarkan prestasi dan hasil kerja, bukan lagi retorik atau sentimen semata-mata, kata Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Yuneswaran Ramaraj.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam ceramah Pakatan Harapan di Segamat malam tadi, sambil menegaskan bahawa rakyat kini semakin matang dalam menilai kepimpinan.
"Politik tidak lagi boleh bergantung kepada retorik, sentimen atau serangan semata-mata. Rakyat berhak menilai berdasarkan rekod kerja dan keupayaan menyelesaikan masalah dan kesungguhan berkhidmat," katanya yang juga Ahli Parlimen Segamat.
Menurut beliau, perjuangan PH bukan bersifat bermusim, sebaliknya berterusan walaupun selepas mendapat mandat daripada rakyat.
"Selepas diberi mandat, tanggungjawab kami adalah terus menjaga hubungan dengan rakyat, turun ke lapangan, mendengar masalah serta membawa penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat.
"Inilah budaya politik yang perlu diperkukuh, politik kerja," ujarnya.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Perpaduan Negara menambah, rakyat kini lebih mementingkan hasil nyata dalam pelbagai isu termasuk banjir, kemudahan asas, infrastruktur, pengangkutan awam dan kebajikan.
Dalam pada itu, Yuneswaran mengakui bahawa Kerajaan Perpaduan berdepan cabaran dalam menyatukan pelbagai parti dan pandangan, namun kerjasama tersebut penting demi kestabilan negara.
"Demi kestabilan negara, kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, jalan kerjasama ini perlu dipertahankan dengan penuh tanggungjawab.
"Saya menyeru semua pihak agar menolak politik yang cuba memecahkan masyarakat melalui sentimen kaum dan agama.
"Malaysia dibina atas kekuatan kepelbagaian dan semua kaum mempunyai peranan penting dalam membina masa depan negara," katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau menyeru pengundi, khususnya di Segamat, agar membuat pilihan secara matang menjelang hari pengundian 11 Julai ini.
"Pilihlah berdasarkan rekod khidmat, keikhlasan bekerja dan kemampuan membawa perubahan," nasihat beliau.




Comments