top of page

Nilai Adam Adli melalui kualiti kepimpinan, bukan sentimen — AMK

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 17 minutes ago
  • 2 min read
Dari kiri: Muhammad Faiz Danial, Najwan Shahrin, Muhammad Zahid Hassan dan Adli Aiman
Dari kiri: Muhammad Faiz Danial, Najwan Shahrin, Muhammad Zahid Hassan dan Adli Aiman

Pelantikan Adam Adli Abdul Halim sebagai Timbalan Menteri Pengajian Tinggi (KPT) perlu dinilai secara objektif dan berasaskan fakta serta prestasi, bukan melalui sentimen, sindiran atau serangan peribadi yang boleh mengaburkan usaha reformasi kerajaan, tegas Angkatan Muda KEADILAN (AMK).


Dalam satu kenyataan bersama, penerangan AMK Wilayah Persekutuan menolak pihak yang cuba mewujudkan persepsi kononnya Adam Adli telah melupakan perjuangan berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebaik sahaja dilantik sebagai Timbalan Menteri.


"Kebelakangan ini, terdapat pihak yang cuba memperlekeh dan menyindir Adam Adli dengan dakwaan kononnya beliau melupakan perjuangan PTPTN sebaik dilantik ke jawatan kerajaan.


"Naratif ini bukan sahaja bersifat tidak adil, malah gagal memahami hakikat bahawa isu PTPTN adalah isu dasar nasional yang diputuskan secara kolektif oleh Kabinet, bukannya keputusan unilateral seorang timbalan menteri," menurut kenyataan bersama itu hari ini.


Pada masa sama, AMK mengakui hak rakyat untuk mengkritik dan menuntut penambahbaikan dasar. Bagaimanapun mereka menegaskan bahawa kritikan tersebut tidak seharusnya disalahgunakan sehingga menjadi budaya memperlekeh atau menghakimi tanpa asas, apatah lagi ketika Adam Adli baharu sahaja dilantik kurang daripada sehari ketika serangan bermula.


"Lebih penting untuk difahami, YB Adam memegang portfolio Timbalan Menteri, bukan Menteri penuh yang mempunyai kuasa muktamad ke atas dasar dan keputusan kewangan negara.


"Dalam struktur pentadbiran kerajaan, dasar berkaitan PTPTN, pendidikan percuma dan pengecualian bayaran balik adalah keputusan Kabinet yang melibatkan pelbagai kementerian, termasuk Kementerian Kewangan.


"Menjadikan seorang Timbalan Menteri sebagai sasaran utama bukan sahaja tidak adil, malah mengelirukan rakyat tentang bagaimana proses pembuatan dasar sebenar berlaku," kata mereka.


Menurut AMK, Kerajaan MADANI melalui Belanjawan 2026 telah menunjukkan kemajuan berperingkat dalam reformasi PTPTN, selari dengan keupayaan fiskal negara dan keperluan memastikan kelestarian dana pendidikan tinggi. Antara langkah yang telah diumumkan termasuk pendidikan percuma melalui PTPTN kepada kira-kira 5,800 pelajar daripada keluarga miskin dengan peruntukan RM120 juta setahun, pengecualian bayaran balik kepada graduan kelas pertama daripada keluarga B40 dan M40 melibatkan sekitar 6,000 peminjam, serta penukaran pinjaman kepada biasiswa bermula 2026 bagi pelajar daripada keluarga miskin berdasarkan data e-Kasih.


Selain itu, sekatan perjalanan ke luar negara secara bersasar turut diperkenalkan terhadap peminjam berkemampuan yang bekerja di luar negara tetapi culas membuat bayaran balik, bagi menjamin kelestarian dana PTPTN.


"Langkah-langkah ini membuktikan bahawa pendekatan Kerajaan MADANI terhadap PTPTN adalah realistik, berfasa dan bertanggungjawab, bukannya bersifat populis atau retorik semata-mata.


"Reformasi yang mampan menuntut keseimbangan antara kebajikan peminjam hari ini dan hak generasi masa depan untuk menikmati peluang pendidikan yang sama," jelas kenyataan itu.


Mengulas rekod prestasi Adam Adli, AMK menyifatkan beliau sebagai tokoh yang berpengalaman dalam kerja dasar dan pelaksanaan. Semasa berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, beliau dikenali aktif turun padang, terbuka kepada dialog dan membawa pendekatan progresif dalam pembangunan belia.


"Pendekatan ini mencerminkan konsistensi Adam Adli sebagai seorang reformis yang bekerja dalam sistem dan memahami batasan struktur kuasa.


"Sepertimana pendekatan dialog beliau di Kementerian Belia dan Sukan, kami percaya beliau akan membawa pendekatan serupa bagi memastikan libat urus yang lebih menyeluruh terutamanya dalam kalangan pimpinan serta kelompok mahasiswa secara menyeluruh," tambah kenyataan itu.


Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Muhammad Faiz Danial (Penerangan AMK Bandar Tun Razak); Najwan Shahrin (Penerangan AMK Lembah Pantai); Muhammad Zahid Hassan (Penerangan AMK Kepong); dan Adli Aiman (Penerangan AMK Putrajaya).

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page