
Tugas harian sebagai Menteri dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Kelantan membawa Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad ke Pulau Teluk Renjuna, Tumpat, Kelantan untuk meninjau projek pembangunan di kawasan berkenaan.
Menurut Nik Nazmi, beliau hadir meninjau kemudahan kesihatan di kawasan berkenaan dan mendengar beberapa taklimat projek serta serahan peruntukan di Tumpat, Kelantan.
Katanya, kawasan tersebut termasuk Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PPLSB) Sg Kelantan Fasa 1 yang dijadualkan siap pada Oktober 2023 bernilai RM699 juta.
Manakala PPLSB Sg Kelantan Fasa 2 pula akan bermula September ini dan bernilai RM1.06 bilion.
"Pulau Teluk Renjuna sebahagian 30 pulau di gugusan pulau di Tumpat. Kira-kira 3,000 penduduk tinggal di sini dengan kebanyakannya adalah nelayan.
"Sehingga hari ini gugusan ini hanya boleh dicapai menggunakan bot. Masalah keciciran pelajar juga serius memandangkan tiada sekolah menengah di gugusan pulau ini," katanya.
Oleh kerana di kawasan berkenaan tiada sekolah menengah, kata Nik Nazmi, maka sekolah kebangsaan dinaiktaraf menjadi Sekolah Model Komprehensif (K9) yang turut memuatkan sekolah menengah.
Selain itu, katanya jambatan juga akan dibina menghubungkan gugusan pulau dengan tanah besar buat pertama kali.
"Saya mengambil kesempatan (dalam lawatan berkenaan) menyampaikan sumbangan projek mesra rakyat Perdana Menteri kepada Masjid Teluk Renjuna dan Klinik Kesihatan Teluk Renjuna," katanya lagi.
Comments