Pertandingan jawatan jawatan utama KEADILAN dimeriahkan lagi dengan pengumuman Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nak Ahmad untuk bertanding posisi Naib Presiden KEADILAN pada Pemilihan KEADILAN 2022.
Menurut Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN itu, beliau yang mempunyai pelbagai pengalaman dalam parti sejak era Reformasi menawarkan diri untuk berada dalam barisan utama kepimpinan bagi menguatkan parti menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15.
"Parti pernah beri ruang. Saya pernah jadi Pengarah Komunikasi parti, pernah menjadi Ketua AMK, Ketua Pemuda PH. Pada 2018 saya jadi Ketua Setiausaha Pengelola
"Maka dengan pengalaman ini saya merasakan, selepas kita melalui detik kekecewaan Langkah Sheraton, kekalahan siri Pilihan Raya Negeri Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor maka kita perlu memperkukuhkan parti berhadapan PRU 15.
"Pengumuman sahabat saya Rafizi yang membawa saya masuk ke dalam parti pada usia 19 tahun, untuk kembali aktif dan menawarkan diri beliau jawatan timbalan presiden yang secara umumnya disambut posisitif, bukan sahaja oleh anggota parti tetapi orang ramai yang mahu alternatif politik BN dan PN.
"Saya berhasrat untuk membantu usaha tersebut dan dengan ini saya menawarkan diri saya bertanding jawatan Naib Presiden parti," katanya.
Nik Nazmi yang membantu parti sejak 1999 menghargai peluang yang diberikan oleh parti sejak 2008 untuk beliau menjadi wakil rakyat.
"Parti ini memberikan saya ruang apabila saya bertanding dan menang ADUN Seri Setia. Calon termuda yang bertanding pada PRU 2008. Bukan saya seorang menang, ramai pimpinan dan kemudian kita telah membentuk banyak kerajaan negeri dan menafikan majoriti BN di Parlimen.
"5 tahun kemudian saya mempertahankan kerusi DUN Seri Setia. Tetapi pada PRU 2018 saya memilih untuk bertanding di Parlimen Setiawangsa. Ini merupakan kawasan majoriti Melayu yang mempunyai 20,000 anggota tentera dan polis dan tidak pernah dimenangi mana mana parti pembangkang.
"Bukan sahaja saya menang PRU 2018 tetapi PH berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan mengalahkan BN buat kali pertama dalam sejarah," katanya.
Beliau berharap Pemilihan KEADILAN 2022 berlangsung dengan semangat kekeluargaan dan tidak berlaku perpecahan pada kali ini sebagaimana 2018 lalu.
Comments