
Rundingan naiktaraf perkhidmatan air Kelantan telah dimulakan di antara Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim bersama Kerajaan Negeri Kelantan.
Untuk itu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini bertemu Exco Kerja Raya, Infrastruktur dan Utiliti Kelantan, Azami Mohd Noor serta pengurusan tertinggi Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) semalam.
Bagaimanapun dalam pertemuan itu Nik Nazmi mengingatkan agar AKSB memperbaiki urustadbir pada pihaknya untuk mendapatkan hasil terbaik daripada sebarang usaha naiktaraf dalam industri air Kelantan.
"Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah secara terbuka menyatakan komitmen kerajaan pusat selesaikan isu air Kelantan. Kami bersedia melihat soal kewangan termasuk pembinaan loji rawatan air dan penggantian paip.
"Namun, saya ingatkan dalam pertemuan itu, sebagaimana jawapan mantan Menteri Alam Sekitar Tuan Ibrahim Tuan Man, tanpa usaha membaiki tatakelola AKSB, permasalahan ini tidak akan selesai," katanya dalam siaran media.
Turut hadir dalam pertemuan itu ialah Dr Ching Thoo Kim, Timbalan Ketua Setiausaha (Air dan Pembetungan) NRECC dan Ahmad Faizal Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksektutif, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara serta pegawai-pegawai Kementerian.