Nik Nazmi akui ditawar Durian RM30
- Omar Zin

- Aug 9, 2021
- 1 min read

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau menerima tawaran ‘Durian RM30’ atau RM30 juta jika menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Bukan itu sahaja, pekerja dan bekas pekerjanya turut menerima mesej tawaran ‘Durian RM30’ itu menerusi aplikasi WhatsApp daripada nombor yang sama.
“Minggu lepas saya ada terima tawaran berjumlah RM24 hingga RM26 juta dengan syarat membawa enam lagi ahli Parlimen bersama dan mereka juga akan mendapat habuan.
“Kali ini datang lagi tawaran ‘Durian RM30’ jika saya datang seorang jadi boleh makan durian puas-puas,” katanya.
Nik Nazmi percaya dalang di sebalik tawaran tersebut merupakan individu yang mengenali dirinya tetapi masih mempertimbangkan sama ada akan membuat laporan polis.
“Kita ada perancangan untuk perangkap individu tersebut tetapi sudah terlambat apabila beberapa ahli Parlimen lain sudah membuat pendedahan. Jadi saya rasa dalang tersebut akan melupuskan nombor telefon berkenaan.
“Mereka mengenali saya dan kakitangan secara rapat dan tetapi saya tidak tahu siapa. Buat masa ini saya hanya boleh membuat spekulasi,” katanya.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) masih belum berjaya mengenalpasti pemilik nombor telefon yang menghantar mesej tersebut.




Comments