
Oleh: Helmi Mohd Foad
Pelaksanaan Skim Insuran Am Selangor (Insan) akan ditambah baik melalui satu kajian semula yang dilaksanakan oleh Bahagian Audit kerajaan negeri, kata Datuk Seri Amirudin Shari.
Menteri Besar berkata, pihaknya mengeluarkan arahan tersebut setelah mengambil kira semua perkara berbangkit mengenai skim perlindungan insuran kemalangan diri percuma kepada rakyat negeri itu.
"Kerajaan Negeri mengarahkan audit Kerajaan Negeri dengan proses yang lebih menyeluruh. Niat (penubuhan memberi) perlindungan kepada rakyat.
"Ia (perlindungan) itu telah dibuat cuma tidak mencapai jumlah sebenar, kerana (mungkin) tawaran tidak jelas, promosi kurang baik dan (meneliti) kaedah digital sama ada ia sampai kepada rakyat (seperti mana) yang kita diharapkan," katanya ketika menjawab soalan Mohd Razali Saari (PN-Sungai Panjang) dan Dr Afif Bahardin (PN-Taman Medan) dalam sidang Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.
Amirudin berkata kajian tersebut dilakukan supaya tidak timbul lagi perkara berbangkit mengenai isu seperti proses prapendaftaran serta pelanggaran terhadap Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dalam melaksanakan skim takaful kemalangan itu.
Terdahulu beliau memaklumkan seramai 5.8 juta rakyat Selangor terlibat dalam prapendaftaran setakat September lalu dengan pecahan sebanyak RM12 juta telah dibayar oleh Kerajaan Negeri menerusi Skim Insan Konvensional yang disediakan oleh AmGeneral Insurance Berhad.
Jelasnya sebanyak RM9 juta pula dibayar untuk Skim Insan Takaful oleh Takaful Ikhlas General Berhad.
"Setakat 30 September 2023, sebanyak 5,879,600 individu terlibat dalam prapendaftaran. Dari angka ini, seramai 3.4 juta melalui daftar program mengundi selebihnya 900,834 melalui ‘blanket coverage’ (liputan perlindungan) pelajar sekolah berumur 7 hingga 9 tahun yang diuruskan bersama Jabatan Pendaftaran Negeri Selangor.
"Juga 750,000 menerusi ‘blanket coverage’ untuk kanak-kanak berusia 30 hingga 60 hari diuruskan bersama Jabatan Pendaftaran Negara. Seramai 760,430 adalah ‘blanket coverage’ yang memenuhi syarat kelayakan melalui data dan maklumat kita peroleh," ujarnya.
Amirudin berkata Kerajaan Negeri merancang untuk meluaskan pendaftaran skim insurans itu kepada enam juta rakyat agar kebajikan mereka terus terbela.
Program Insan merupakan inisiatif Kerajaan Selangor bermula 1 Oktober 2022 bertujuan memberi perlindungan insurans kemalangan diri berkumpulan percuma kepada enam juta rakyat di negeri itu yang layak berumur dari 30 hari sehingga 80 tahun.
Skim Insan Konvensional menawarkan perlindungan insurans RM10,000 untuk kes kematian dan kes hilang upaya kekal akibat kemalangan dan tambahan RM1,000 untuk perbelanjaan pengebumian untuk kes kematian.
Skim Insan Takaful pula menawar perlindungan takaful di antara RM10,000 sehingga RM20,000 bagi kes kematian atau kes hilang upaya kekal akibat kemalangan dan tambahan RM1,000 untuk perbelanjaan pengebumian untuk kes kematian serta tambahan faedah RM50/hari sehingga 30 hari untuk kemasukan wad.
Sehingga Julai 2023, sejumlah 44 kes tuntutan telah diselesaikan merangkumi jumlah pemberian pampasan sebanyak RM537,000 yang meliputi kes kematian dan kecacatan kekal.