NGO WINK aktif bantu mangsa banjir Kuantan
- Suara Keadilan
- 2 minutes ago
- 2 min read

Peranan komuniti badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu operasi kebajikan mangsa banjir di daerah Kuantan baru-baru ini mendapat pengiktirafan pihak berkuasa daerah apabila Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Sharuddin Jali, mengakui sumbangan besar NGO dalam menyokong usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Pengiktirafan itu dinyatakan sendiri oleh beliau dalam ucapan rafak sembah di hadapan Ke Bawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang ketika lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bunut Rendang pada Sabtu, 20 Disember 2025.

Antara NGO yang tampil ke hadapan membantu ialah Persatuan Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) yang diketuai Pengerusinya, Sridayu Samsuri. Menurut beliau, sukarelawan WINK merupakan antara yang terawal tiba di PPS bagi menyalurkan bantuan awal kepada mangsa banjir.
“Sukarelawan WINK hadir seawal hari pertama dengan membekalkan makanan ringan seperti roti, biskut dan air mineral, selain kit sanitari wanita serta lampin pakai buang untuk kanak-kanak kecil,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita Cabang KEADILAN Kuantan memaklumkan, dengan kerjasama JKM Kuantan, WINK turut menghantar makanan bermasak bagi menampung kekurangan bekalan makanan pada peringkat awal penempatan mangsa di PPS.
Rekod penglibatan WINK dalam kerja kemanusiaan sebelum ini turut menjadi bukti komitmen berterusan NGO tersebut. Antaranya, penyediaan sebanyak 3,000 set kit sanitari pad wanita untuk dihantar ke Palestin ketika konflik di Gaza, yang ditaja bersama Yayasan Madani di bawah pimpinan Datuk Dr Fuziah Salleh selaku Pengerusi Yayasan.
Inisiatif tersebut bukan sahaja membantu wanita di zon konflik, malah membuka peluang pendapatan kepada wanita tempatan termasuk ibu tunggal yang terlibat dalam menjahit pad sanitari boleh guna semula itu. Atas sumbangan berterusan kepada komuniti, Sridayu Samsuri sebelum ini turut dinobatkan sebagai penerima SDG Icon Leadership Award oleh APPGM-SDG.
Dalam kejadian banjir terbaru, WINK sekali lagi memainkan peranan penting apabila bekerjasama dengan perusahaan sosial Kembara Kitchen untuk membekalkan 2,000 pek makanan retort nasi arab dan pes keledek, selain lampin kanak-kanak, ke dua PPS terbesar di Kuantan iaitu PPS SK Bunut Rendang dan PPS Chong Hwa.





