
Gabungan NGO-NGO Reformasi mahu logo KEADILAN yang digunakan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 dikekalkan dalam PRU akan datang.
Koordinator Gabungan Reformis Malaysia (GRM), Mustaffa Kamil Ayub berkata, logo tersebut bukan sahaja bersifat nostalgik tetapi penerimaannya cukup meluas di segenap ceruk rantau sehingga ke Sabah dan Sarawak.
"GRM dengan 10 NGO gabungan pengasasnya, mendukung penuh agenda reformasi, Deklarasi Permatang Pauh 1998 dan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku tunggak utamanya.
"Kami mengikuti polemik mengenai penggunaan logo bagi PRU15 dan kami berpandangan logo KEADILAN mestilah dikekalkan bagi PRU akan datang.
"GRM berpandangan logo itu bukanlah semata-mata nostalgik tetapi kerana penerimaannya yang cukup meluas sepanjang lebih 20 tahun KEADILAN di persada politik Malaysia, dari Perlis hinggalah ke Sabah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mustaffa lagi, kajian yang dilakukan secara atas talian juga menunjukkan majoriti rakyat Malaysia lebih mengenali logo KEADILAN mewakili pembangkang berbanding lain-lain logo.
"Berdasarkan kajian terkini menunjukkan lebih 70% rakyat Malaysia memilih logo KEADILAN dikekalkan bagi PRU15.
"GRM juga berkeyakinan bahawa Datuk Seri Anwar bersama sejumlah pimpinan kanan politik semasa dan pasukannya amat komited mendukung politik nilai serta politik yang lebih stabil dalam membawa Malaysia keluar daripada kemelut semasa. Oleh itu, logo KEADILAN amat menjiwai semangat ini dan mampu membawa imej ini buat rakyat Malaysia," kata Mustaffa lagi.
GRM mewakili 10 NGO Reformasi yang berjuang sejak 1998; Persatuan Rapat Rakyat (RAPAT), Pro98 Reformis, Otai Reformis 1998, Jingga 13 Malaysia, Pertubuhan Aktivis Rakyat Malaysia (ARM), Pertubuhan Kebajikan Pahlawan Malaysia (PAHLAWAN), Gerakan Reformasi Veteran ATM (GRVATM), Persatuan Media Sosial (PEMASSA), Gerak Aktif Sosioekonomi Amal Kebajikan (GASAK), Pertubuhan Gerakan Pejuang Negara Malaysia (GMPN) dan Pertubuhan Solidariti Madani Malaysia (MASSA).