top of page

NGO hantar memorandum mohon Agong pertimbang kembalikan kerajaan mandat rakyat



Gabungan Bertindak Memorandum Rakyat Malaysia (GBMRM) hari ini menyerahkan memorandum ke Istana Negara menuntut agar kerajaan Perikatan Nasional menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak bertindak membelakangkan institusi Raja-Raja Melayu.


Menurut Ketua Koordinator GBMRM, Mustapha Mansor Amer Mohd Isa (gambar, bersongkok), memorandum tersebut adalah yang kedua dihantar kepada pihak Istana Negara selepas memorandum memohon Yang di-Pertuan Agong menolak cadangan mengisytihar darurat pada bulan lalu.


Katanya, memorandum hari ini disokong oleh 50 badan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat dari pelbagai latar belakang serta disiplin kerjaya.


"Kita kumpul sokongan setakat ini lebih daripada 50 NGO. Kita telah juga dapatkan sokongan dari rakyat melalui petisyen secara atas talian melebihi 2,000 orang dalam tempoh seminggu.


"Kita juga dapat sokongan manual yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp melebihi 5,000 sokongan. Kita minta rakyat membuat apa yang mereka mampu, seperti menurunkan tandatangan ke atas memorandum ini.


"Kita sasarkan 1 juta tandatangan. Kita harap tandatangan ini memberi isyarat yang cukup jelas bahawa rakyat Malaysia bukan rakyat seperti 60 tahun lalu. Tetapi rakyat sekarang celik Perlembagaan. Rakyat tahu perkembangan situasi politik, sosial dan ekonomi," katanya di hadapan Pintu 2, Istana Negara seusai serahan memorandum tengah hari tadi.


Menurut Mustafa lagi, pihak istana menerima baik memorandum yang dihantar. Memorandum sama, katanya, turut ditujukan kepada pihak Parlimen Malaysia.


Namun Mustafa berpendapat pihak Parlimen boleh mengetahui isi kandungan memorandum tersebut dari media massa.


"Kita harap melalui media, semua Ahli Parlimen faham hasrat rakyat. Kami dari gabungan pelbagai NGO, termasuk dari Sabah, Sarawak dan saya juga menerima panggilan dari seluruh dunia. Dari United Kingdom, Ireland, Singapura, Brunei, Amerika Syarikat, Arab Saudi dan sebagainya yang menyatakan kekecewaan terhadap perkembangan politik di tanah air. Mereka kata demokrasi Malaysia sudah mati.


"Apa tujuan kita menghantar memorandum, kita berharap pihak istana dan Raja-Raja Melayu faham hasrat rakyat yang sangat menghormati raja berperlembagaan. Kita faham Raja Berperlembagaan ini mesti dipertahankan seperti pertahankan bahasa Melayu, agama Islam dan lain-lain," katanya lagi.


Isi kandungan memorandum tersebut seperti berikut:


1. Menyampaikan tuntutan rakyat agar Kerajaan Perikatan Nasional menghormati prinsip-prinsip Rukun Negara dengan mendahulukan Perlembagaan di atas segala undang-undang.


2. Mengembalikan mandat rakyat yang dirampas pada bulan Februari 2020 melalui langkah Sheraton yang jelas sekali bertentangan dengan amalan demokrasi berparlimen.


3. Memohon perkenan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong mencemar Duli untuk bertemu dengan ketua-ketua parti politik yang bersama dengan YB Datuk Seri Anwar Ibrahim setelah pihak Yang Dipertuan Agong menerima mengadap pada 13 Oktober 2020 lalu. Seluruh rakyat mengetahuinya melalui kenyataan media yang disiarkan pada 14 Oktober 2020.


4. Menegaskan peri pentingnya pentadbiran istana dilindungi dan dipelihara sewajarnya supaya tidak menimbulkan tanggapan negatif bahawa kakitangan istana telah didalangi oleh individu-individu yang diarah untuk menjaga kehendak dan kepentingan kerajaan Perikatan Nasional.


5. Menyatakan rasa amat terkejut dengan beberapa kenyataan dari pihak Kerajaan Perikatan Nasional sendiri yang secara terbuka menolak keputusan Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu menolak dilaksanakan darurat.


6. Menyampaikan tuntutan rakyat agar tindakan sewajarnya diambil terhadap beberapa Yang Berhormat Ahli Parlimen serta Speaker Parlimen kerana berperilaku secara tidak beradab dan membelakangkan tatacara mesyuarat Sidang Dewan Rakyat di Parlimen.


7. Menyarankan agar perlantikan Speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negara dilantik oleh Yang Dipertuan Agong sendiri . Ini adalah untuk mengelakkan bias (berat sebelah) apabila kedua-dua lantikan itu dibuat oleh parti politik.


Semoga memorandum rakyat ini diamati dan diambil tindakan segera demi mengelakkan tercetusnya kemarahan rakyat yang mungkin tidak terkawal.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page