Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) melancarkan laporan penyelidikan bertajuk "Penambahbaikan Proses Pelantikan Jawatan Utama Kerajaan di Malaysia".
Menurut kenyataan Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0, kajian itu dibuat berhubung pelantikan jawatan pegawai tinggi kerajaan seperti Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pelbagai jawatan utama yang berperanan penting untuk kesejahteraan demokrasi serta kedaulatan negara yang sebelum ini dipertikaikan kriterianya.
Kata BERSIH 2.0, kontroversi sering melingkari Perdana Menteri (PM) yang melantik individu tertentu yang dianggap tidak berasaskan merit atau diragui kemampuannya untuk mentadbir.
"Hal ini kerana besarnya pengaruh Eksekutif, terutamanya PM dalam urusan pelantikan, pembaharuan dan pemecatan pegawai yang memegang jawatan utama dalam kerajaan ini.
"Hal ini mengundang penyalahgunaan kuasa, kronisme dan perlindungan dalam kalangan pegawai berjawatan tinggi yang menyebabkan mereka tidak dapat melaksanakan tugas mereka secara tidak berpihak dan adil.
"Masalah ini turut dihambat oleh ketelusan, akauntabiliti dan penilaian awam yang kian berkurang dalam proses pelantikan sedia ada secara keseluruhannya.
"Maka lahirnya keperluan untuk penambahbaikan proses pelantikan dan pemecatan jawatan utama kerajaan agar ianya lebih telus, berakauntabiliti dan terbuka untuk penilaian awam serta berdasarkan sistem merit," kata kenyataan itu.
Menurut BERSIH 2.0 lagi, kajian berkenaan dibuat berdasarkan perbandingan proses pelantikan jawatan utama kerajaan di United Kingdom, Kanada dan Amerika Syarikat
Sehubungan itu, BERSIH 2.0 mencadangkan kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) Pelantikan dan Pemecatan Pegawai Jawatan Utama Kerajaan untuk memulakan proses penambahbaikan.
RUU ini harus mengandungi langkah-langkah berikut:
Menteri yang berkaitan mesti melantik Panel Penasihat Penilaian yang bebas dan diketuaioleh pertubuhan masyarakat sivil untuk menemubual dan mengesyorkan calon Jawatan Utama Kerajaan.
Ini harus dituruti oleh jemputan terbuka kepada rakyat untuk memohon kekosonganjawatan tersebut.
Setelah melalui proses pemilihan, Panel Penasihat Penilaian akan mengesyorkan hingga 3calon untuk setiap kosongan kepada Menteri yang berkaitan, mengikut urutan pilihan.
Pada tahap ini, Menteri mempunyai dua pilihan: (a) beliau boleh menerima calon tersebutatau (b) beliau boleh merujuk perkara itu kembali ke Panel Penasihat Penilaian (tetapi hanya sekali) untuk pertimbangan semula. Sekiranya Menteri tersebut merujuk kembali dan Panel Penasihat Penilaian bertegas untuk senarai asal, maka Menteri secara undang-undangnya perlu menerima calon-calon tersebut.
Menteri perlu mencalonkan individu yang dicadangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas (JPK) Parlimen yang berkaitan. JPK akan berbincang bagi mempertimbangkan pencalonan menteri. JPK akan bertindak sebagai lapisan tambahan untuk semak dan imbang proses pelantikan dan penilaian sedemikian (yang sering dilakukan oleh umum) bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti.
Jawatankuasa ini boleh (a) mengesahkan pencalonan atau (b) merujuk pencalonan itu kembali kepada Menteri berserta laporan yang menyatakan sebab-sebab pertimbangan semula. Sekiranya (b) dipilih, Menteri boleh mencalonkan calon lain di antara calon yang selebihnya yang diperingkat oleh Panel Penasihat Penilaian kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen. Jawatankuasa ini akan mempunyai pernyataan terakhir mengenai pengesahan pelantikan Jawatan Utama Kerajaan.
RUU ini mewajibkan Menteri untuk melantik calon yang berjaya dipersetujui oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen. Sekiranya Jawatan Utama ini dilantik oleh YDPA berdasarkan undang-undang kita, Menteri akan menasihati YDPA untuk melantik calon yang berjaya.
RUU ini juga akan menetapkan seorang Pesuruhjaya untuk Pelantikan dan Pemecatan Jawatan Utama Kerajaan, terutamanya yang ditugaskan untuk mengawasi semua prosedur bagi memastikan semua peraturan tersebut dipatuhi oleh semua Kementerian, Agensi, Menteri, Panel Penasihat Penilaian dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen. Pesuruhjaya juga akan mengaudit proses pelantikan dan pemecatan dan menerbitkan laporan kepada masyarakat mengenai audit tersebut, untuk memastikan ketelusan dan pemeriksaan.
RUU ini akan mewajibkan Kerajaan untuk membuat satu Kod Pemerintahan untuk membimbing pelantikan Jawatan Utama Kerajaan. Proses pelantikan semestinya merangkumi prinsip-prinsip seperti tidak mementingkan diri sendiri, integriti, jasa, keterbukaan, kepelbagaian, jaminan dan keadilan.
Kajian "Penambahbaikan Proses Pelantikan Jawatan Utama Kerajaan di Malaysia" tersebut dijalankan oleh penyelidik oleh Lim Wei Jiet di bawah naungan BERSIH 2.0
Comments