top of page

NGO Kuantan Prihatin anjur majlis apresiasi, mantap penguasaan STEM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 8, 2024
  • 2 min read

ree

Oleh: Abdullah Zaid


Badan bukan Kerajaan (NGO) Kuantan Prihatin (KP) baru baru ini menganjurkan majlis penutup program Pemantapan Matematik dan Sains Parlimen Kuantan bagi menghargai sumbangan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).


Menurut Pengerusi Kuantan Prihatin (KP), Fakhrul Anuar Zulkawi yang juga Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, program yang mula diadakan sejak 19 November lalu telah berjaya membantu pelajar dari keluarga B40 untuk mengukuhkan penguasaan subjek-subjek kritikal seperti Matematik dan Sains.


"Program ini mampu mencetus banyak lagi program-program berteraskan STEM seperti Karnival STEM peringkat daerah dan negeri dan Program Inovasi Sains dan Matematik Generasi Muda Negeri Pahang," katanya dalam satu kenyataan.


Sementara itu, pengerusi Persatuan Mahasiswa Sains KOS (Sciencess) Cik Maisarah berkata, program seumpama ini membuka mata dan minat mahasiswa UIAM untuk membantu golongan pelajar sekolah yang masih tercicir di dalam bidang ini.


"Oleh itu, aktiviti ini akan terus dirancakkan lagi dan sciencess berhasrat membawa pelajar-pelajar sekolah ini melawat UIAM bagi meningkatkan hubungan dan pendedahan mereka dengan alam universiti," katanya.


Jelas Maisarah, kerjasama pihak kementerian yang terlibat dengan Kerajaan Pahang perlu diwujukan bagi pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) negeri terus diperkasa.


"Pihak Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pengajian Tinggi mewujudkan kerjasama dengan kerajaan negeri akan mengukuhkan usaha-usaha pembudayaan STEM kepada generasi muda di negeri ini," ujarnya.


Untuk rekod, Program Pemantapan Matematik dan Sains Parlimen Kuantan telah berjaya melihatkan 300 orang pelajar di Parlimen Kuantan sejak ia mula diadakan pada 19 November 2023 hingga 5 Januari lalu.


Selain itu, program anjuran Pusat Pembelajaran Komuniti Kuantan Prihatin dan Wanita Inspirasi Kuantan (WINK) serta Kulliyyah Of Science (KOS) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah menarik 71 sukarelawan mahasiswa dan mahasiswi UIAM untuk membantu penguasaan Matematik dan Sains dalam komuniti setempat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page