top of page

NG MERS 999: Gangguan talian ditangani secara serius

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 2 min read
ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Komunikasi (KK) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) mengambil maklum mengenai aduan isu teknikal membabitkan talian Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) yang memulakan operasinya minggu lalu.


Menerusi kenyataan bersama yang dikeluarkan semalam, mereka menegaskan perkara ini ditangani secara serius dan dengan kadar segera kerana setiap panggilan kecemasan melibatkan nyawa dan kesejahteraan rakyat.


"Semakan teknikal oleh TM mengesahkan bahawa sistem NG MERS 999 beroperasi seperti biasa, termasuk prosedur penyaluran kes menggunakan prinsip “nearest available” bagi memastikan aset kecemasan terhampir dapat digerakkan secepat mungkin.


"Penilaian berterusan terhadap keupayaan koordinasi dan ketersediaan aset juga sedang dilaksanakan bersama agensi-agensi berkaitan," kata kenyataan tersebut.


Untuk rekod, NG MERS 999 merupakan sistem kecemasan generasi baharu negara yang dibangunkan untuk menyediakan perkhidmatan lebih pantas, tepat, moden dan inklusif.


Pembangunan sistem itu adalah hasil kerjasama strategik antara KK, TM dan lima agensi kecemasan utama negara, iaitu KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM); Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).


Sebelum ini terdapar laporan media mengenai masalah teknikal membabitkan sistem panggilan kecemasan itu yang dibimbangi menimbulkan risiko terhadap keselamatan dan nyawa rakyat sekiranya tidak ditangani segera.


Sementara itu menerusi kenyataan sama, KKM menegaskan pihaknya akan memperkukuh respons di lapangan melalui penambahan ambulans, penyusunan semula penugasan petugas di kawasan strategik, serta penglibatan badan sukarela seperti Bulan Sabit Merah Malaysia, St. John Ambulans Malaysia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan sebagai sebahagian daripada keupayaan respons kecemasan negara.


Manakala TM akan terus memperkukuh keupayaan sistem dan aplikasi NG MERS 999, termasuk perisian serta proses teknikal yang berkaitan, bagi memastikan prestasi dan pengalaman operasi yang lebih lancar untuk semua agensi kecemasan.

"Perkhidmatan 999 melalui panggilan suara kekal berfungsi sepenuhnya dan boleh digunakan seperti biasa, sementara aplikasi SaveME999 pula berfungsi sebagai saluran tambahan, khususnya untuk pengguna yang memerlukan ciri komunikasi melalui teks, video dan multimedia, selaras dengan usaha meningkatkan keberkesanan dan keterangkuman respons kecemasan negara," tambah kenyataan tersebut.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page