top of page

Nelayan masih nikmati pelbagai bantuan termasuk diesel bersubsidi - LKIM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Subsidi yang diberikan kerajaan kepada golongan nelayan ketika ini masih mencukupi dan tidak wajar dipertikaikan.


Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil (gambar) menegaskan, nelayan masih menikmati pelbagai bentuk bantuan termasuk subsidi bahan api pada kadar RM1.65 seliter bagi Zon A, B dan C, selain elaun sara hidup serta insentif tangkapan ikan.


"Kerajaan komited memastikan sektor perikanan terus berkembang dan nelayan dapat meningkatkan produktiviti tangkapan.


"Kuota 70 juta liter diesel sebulan yang diperuntukkan kerajaan kepada nelayan bukan satu jumlah yang kecil, jumlah yang cukup besar melibatkan ratusan juta ataupun mungkin mencecah satu bilion lebih subsidi yang perlu dikeluarkan.


"Kalau nak kata nelayan merungut itu tidak betul kerana mereka masih menikmati subsidi, selain sumber ikan di laut ketika ini juga sedang banyak," katanya dipetik.


Muhammad Faiz berkata begitu pada sidang media Program Jualan Ikan Murah sempena Program Madani Rakyat (PMR) 2026 Perak di Khemah Jualan Agro Madani di Bulatan Sultan Azlan Shah di Ipoh pada Jumaat.


Program Madani Rakyat 2026 Perak berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad ini, menawarkan pelbagai inisiatif kepada rakyat termasuk jualan barangan keperluan pada harga mampu milik.


Program itu menawarkan kira-kira satu tan metrik ikan melibatkan pelbagai spesies termasuk ikan bawal emas, kembung, selayang, selain udang, sotong, kerang dan ketam.


Sementara itu menurutnya, faktor musim yang menyaksikan hasil tangkapan meningkat membolehkan pelbagai program jualan murah dilaksanakan di seluruh negara.


Lambakan bekalan ikan ketika ini turut membantu menstabilkan situasi pasaran selain memastikan bekalan makanan laut mencukupi untuk rakyat.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page