Negeri Sembilan bakal beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) mulai 26 Ogos 2021 ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
"Kerajaan Negeri Sembilan menyambut baik peralihan daripada Fasa 1 kepada Fasa 2 PPN.
"Sudah pastinya dengan peralihan ini, pemulihan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dapat dijalankan.
"Kerajaan Negeri berharap agar rakyat Negeri Sembilan terus mengamalkan amalan kendiri serta mematuhi SOP yang ditetapkan agar kes baharu COVID-19 terus dapat diturunkan dan kita dapat beralih ke fasa seterusnya," katanya.
Peralihan itu sekaligus memberi beberapa kelonggaran kepada rakyat Negeri Sembilan.
"Antaranya, pergerakan rentas daerah dibenarkan bagi individu yang lengkap 2 dos vaksin.
"Pasangan suami isteri jarak jauh dibenarkan merentas negeri bagi tujuan berjumpa pasangan masing-masing, dengan syarat kedua-duanya telah lengkap 2 dos vaksin.
"Ibu bapa atau penjaga yang mempunyai anak di bawah umur 18 tahun serta menetap di negeri lain dibenarkan merentas negeri untuk berjumpa, dengan syarat mestilah lengkap 2 dos vaksin," katanya.
Selain itu, aktiviti solat di masjid dan surau dibenarkan bagi individu yang lengkap 2 dos vaksin, tertakluk kepada ketetapan dan SOP oleh pihak berkuasa agama negeri, manakala aktiviti keagamaan di rumah ibadat agama lain bagi individu yang lengkap menerima 2 dos vaksin tertakluk kepada ketetapan Kementerian Perpaduan Negara (KPN).
Dalam pada itu, hanya pelanggan yang telah lengkap menerima 2 dos vaksin dibenarkan untuk dine-in di restoran, warung dan premis kedai makan.
"Manakala pemilik premis pula wajib memaparkan notis penerimaan pelanggan yang telah lengkap divaksinasi," kata Aminuddin.
Tambahnya, aktiviti pelancongan hanya dibenarkan dalam negeri yang sama sahaja, dengan syarat wajib telah menerima 2 dos vaksin bagi mereka yang ingin menginap di hotel dan homestay.
Comments