Negeri ditadbir Pas lintang pukang, tidak layak seru 'selamatkan dunia'
- Suara Keadilan

- Jan 15
- 2 min read

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar), menegaskan bahawa seruan Presiden Pas, Hj Hadi Awang, supaya bangsa Melayu Islam “menyelamatkan dunia” tidak mampu menutup kegagalan parti itu sendiri dalam mentadbir serta menghormati institusi Raja, khususnya di negeri Perlis.
Dakwa Mahfuz, sebelum Pas bercakap soal misi besar menyelamatkan dunia, parti itu terlebih dahulu gagal menyelamatkan kerajaan negeri Perlis yang dibentuk hasil mandat rakyat.
"Di Perlis Pas berpecah sesama sendiri sehingga menjatuhkan Menteri Besar daripada parti mereka sendiri, Pas enggan menerima titah Raja Perlis supaya semua pihak bersatu demi kestabilan pentadbiran negeri.
"Pas mencetuskan krisis politik yang tidak perlu di negeri paling kecil di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa krisis tersebut bukan berpunca daripada perbezaan ideologi atau prinsip, sebaliknya mencerminkan ketidakmampuan Pas mengurus kuasa, perbezaan pandangan dan amanah yang diberikan.
Mahfuz turut mengingatkan bahawa Pas sebelum ini juga menolak titah Yang di-Pertuan Agong agar semua parti membentuk Kerajaan Perpaduan demi kestabilan negara selepas Pilihan Raya Umum.
"Namun hari ini, Pas bercakap soal perpaduan, tasamuh dan kemaafan seolah-olah mereka tidak pernah menjadi punca perpecahan," katanya.
Menurut Mahfuz, ajaran Islam yang sebenar menuntut umatnya menghormati institusi Raja, mentaati ulil amri selagi tidak bercanggah dengan syarak, mengutamakan kestabilan serta kemaslahatan rakyat, dan menjauhi fitnah serta perpecahan.
"Namun apa yang dipamerkan Pas ialah politik kuasa yang dibalut dengan retorik agama, bukan kepimpinan berteraskan nilai Islam yang rahmah," ujarnya.
Beliau menegaskan bahawa rakyat Perlis dan Malaysia tidak menuntut Pas untuk menyelamatkan dunia, sebaliknya mengharapkan sebuah kerajaan yang stabil, pemimpin berdisiplin, politik matang serta bertanggungjawab, dan menghormati Raja serta Perlembagaan.
"Selagi Pas gagal mengurus parti sendiri, gagal menghormati titah Raja Negeri dan Yang di-Pertuan Agong, serta gagal membuktikan kematangan berpolitik, Pas tidak layak bercakap tentang kepimpinan umat apatah lagi menyelamatkan dunia," katanya.









Comments