top of page

'Negara tidak disanjung jika rasuah menggunung'



Oleh: Noraini Nordin


ULASAN BERITA: Aduhai ... bukan sahaja hati membengkak malah degupan jantung saya juga hampir terhenti apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan dalam tempoh lima tahun negara telah kerugian RM277 bilion akibat gejala rasuah.


Pendedahan SPRM ini amat mengejutkan kerana jumlah tersebut luar biasa besarnya dan boleh membantutkan pembangunan serta menjejaskan usaha untuk mensejahterakan rakyat.


Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam pendedahannya berkata, jumlah kerugian itu berdasarkan anggaran kumulatif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh lima tahun dari 2018 hingga tahun lepas.


"Angka yang cukup besar ini sewajarnya boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat dalam pelbagai aspek terutamanya pelaksanaan projek sosial seperti baik pulih hospital dan sekolah, malangnya nilai ini tiris akibat jenayah rasuah," katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya kemarin.


Berdasarkan angka yang didedahkan Azam itu, secara purata kerugian yang dialami negara dalam setahun ialah RM55 bilion setahun.


Bayangkan berapa banyak projek pembangunan dan program-program untuk rakyat dapat dilaksanakan jika amalan rasuah dapat dibendung, apa lagi kalau dihapuskan?


Dengan itu, rakyat perlu faham mengapa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak awal mengambil alih teraju kerajaan begitu bersungguh-sungguh mahu memerangi amalan rasuah.


PMX dalam mana-mana ucapannya, terutama dalam perhimpunan melibatkan pemimpin dan penjawat awam kerap mengingatkan betapa buruknya amalan rasuah.


Tamak punca rasuah


Hakikatnya, jika tidak dibendung dan diperangi, negara akan kerugian berbilion ringgit lagi akibat gejala rasuah yang berpunca daripada sikap tamak dan tidak amanah itu.


Dalam responsnya kemudian di majlis tersebut, Anwar menegaskan, angka itu membuktikan gejala rasuah begitu 'membengkak' di negara ini sedangkan jumlah sebesar itu sepatutnya dapat digunakan untuk tujuan yang lebih bermanfaat seperti pembasmian kemiskinan, pembinaan infrastruktur seperti sekolah dan hospital, serta membantu golongan yang memerlukan.


"Atas sebab itu, semua pihak termasuk rakyat perlu berganding bahu bersama agensi penguatkuasaan seperti SPRM untuk membanteras gejala tersebut.


"Isu ini tidak boleh dipandang ringan. Anda memerlukan kesungguhan, komitmen, dedikasi dan keberanian serta memerlukan legislatif dan perundangan yang kuat untuk melindungi kita dari gejala rasuah.


"Dan paling penting anda perlu keberanian politik serta hala tuju yang jelas," ujar Perdana Menteri lagi.


Rasuah rosakkan kemanusiaan


Diharap dengan ketegasan Anwar memerangi rasuah, di samping SPRM terus tegas melaksanakan tanggungjawabnya, kita sebagai rakyat perlu bersama-sama memberi sokongan ke atas perkara tersebut.


Rasuah adalah jenayah yang merosakkan kemanusiaan dan peradaban. Kehidupan hanya dapat digemilangkan jika gejala itu dihapuskan terlebih dahulu.


Tiada negara yang benar-benar disanjung jika amalan rasuahnya masih menggunung.

_________________________________________________________________________________

Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page