Chean Chung dicabar, bila suaranya disekat? - Bryan Ng


Dakwaan bekas Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung bahawa beliau tidak lagi mempunyai ruang untuk berbahas atau menyatakan pendirian dalam parti sehingga mendorongnya meletakkan jawatan dibidas pemimpin kanan KEADILAN.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin berkata, Chean Chung memberikan gambaran tidak lengkap memandangkan beliau gagal menghadiri kebanyakan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sejak November 2025 sebelum memilih untuk meletakkan jawatan daripada badan kepimpinan berkenaan.
Menurutnya mesyuarat MPP merupakan antara forum utama kepimpinan parti yang turut dihadiri Presiden parti, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta pimpinan Pusat termasuk menteri dan timbalan menteri daripada parti itu.
"Pelbagai isu nasional, dasar kerajaan dan isu semasa dibangkitkan serta dibincangkan dalam forum tersebut. Ahli pimpinan mempunyai ruang untuk bertanya, memberikan pandangan, berbeza pendapat dan membawa isu secara terus kepada pimpinan tertinggi," katanya dalam kenyataan hari ini.
"Jika benar beliau disekat daripada bersuara, bila, dalam mesyuarat mana, oleh siapa dan apakah isu yang cuba dibangkitkan tetapi dihalang?"
Bryan Ng turut mempersoalkan penglibatan Chean Chung dalam beberapa mesyuarat berkaitan isu rakyat di Petaling Jaya termasuk usaha mitigasi banjir yang dianjurkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Kerajaan Negeri.
Katanya, beliau dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya namun didakwa tidak menghadiri kebanyakan mesyuarat tersebut.
"Dalam satu mesyuarat terakhir yang saya ingat, beliau menghantar pegawai khas, namun tiada isu dibangkitkan oleh wakil tersebut," katanya yang juga Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Bryan Ng berkata perkara sama berlaku dalam mesyuarat berkaitan Rancangan Tempatan Petaling Jaya yang membincangkan hala tuju pembangunan bandar termasuk penggunaan tanah, trafik, kemudahan awam dan perancangan masa depan.
"Kalau benar mahu selesaikan masalah rakyat hadir dahulu di meja penyelesaian. Rakyat mahukan penyelesaian, bukan sekadar pertunjukan," katanya.
Beliau berkata sesuatu isu tidak memadai dibangkitkan melalui media sekiranya wakil rakyat pada masa sama tidak menghadiri kebanyakan mesyuarat yang diwujudkan bagi mencari penyelesaian.
Bryan Ng turut menolak gambaran bahawa Chean Chung tidak mempunyai ruang untuk menyuarakan pandangan dalam parti dengan mengingatkan bekas Ahli Parlimen itu pernah membangkitkan isu pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang kemudiannya menyaksikan penambahbaikan oleh kerajaan.
"Kalau ada persoalan, tanya. Kalau tidak setuju, bahas. Kalau ada cadangan lebih baik, kemukakan.
"Malah dalam isu pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, beliau sendiri pernah membangkitkan pandangan dan Kerajaan membuat penambahbaikan. Jadi jelas, ruang untuk bersuara memang ada," katanya.
Bryan turut mempersoalkan keputusan Chean Chung menghadiri program dan berdiri di pentas Parti Bersama ketika masih menjadi Ahli Parlimen dan anggota KEADILAN.
Tegas beliau, sekiranya Chean Chung sudah hilang keyakinan terhadap KEADILAN beliau mempunyai hak untuk berundur daripada parti itu namun tindakan tersebut sepatutnya dibuat terlebih dahulu sebelum terlibat dengan parti lawan.
"Jangan putar fakta seolah-olah tindakan disiplin berlaku hanya kerana beliau bersuara. Tindakan terhadap anggota yang membantu atau menyokong pihak lawan juga bukan sesuatu yang luar biasa," katanya.
Bryan berkata rakyat berhak mengetahui keseluruhan cerita termasuk tindakan yang berlaku sebelum keputusan disiplin menggantung keanggotaan Chean Chung selama tiga tahun diambil.
"Rakyat mahukan wakil rakyat yang hadir, bekerja dengan agensi berkaitan, membuat susulan dan mendapatkan penyelesaian.
"Seorang Ahli Parlimen yang berkesan bukan sekadar mengeluarkan kenyataan. Tugasnya ialah membawa isu kepada pihak yang berkuasa, hadir dalam mesyuarat, mendesak tindakan dan membuat susulan sehingga penyelesaian dicapai," katanya.
Media tempatan hari ini melaporkan Chean Chung mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Parlimen Petaling Jaya tanpa syarat, berkuat kuasa serta-merta selepas menerima keputusan penggantungan keahlian KEADILAN.
Beliau turut memaklumkan akan menyerahkan surat rasmi untuk keluar daripada KEADILAN pada Isnin ini.




Comments