Isu kerugian UiTM Holdings serius, libatkan kepentingan pendidikan Bumiputera


Sekumpulan mahasiswa menganggap isu kerugian UiTM Holdings sebagai perkara serius dan sensitif kerana ia membabitkan UiTM yang disifatkan sebagai institusi penting dalam memperjuangkan kepentingan Bumiputera di negara ini.
Hal itu disuarakan menerusi flashmob di lokasi berhampiran UiTM Shah Alam yang diadakan hari ini dan turut disertai beberapa pimpinan mahasiswa, termasuk Mahasiswa KEADILAN Malaysia (MKM).
Pengerusi MKM, Hazim Suhaimi berkata, himpunan berkenaan bukan bertujuan menjadikan isu UiTM Holdings sebagai modal politik, sebaliknya mahu mempertahankan kepentingan UiTM sebagai institusi penting pendidikan anak-anak Bumiputera.
"Jadi kita nak minta pihak UiTM memberikan kebebasan kepada pihak SPRM menjalankan siasatan mereka dalam apa-apa sahaja isu yang melibatkan UiTM.
"Kita faham SPRM telah menjalankan tugas mereka dengan baik. PAC sendiri melaporkan kerugian UiTM ini mencecah ratusan juta ringgit.

"Bagi kami (iaitu) mahasiswa sendiri, isu ini sangat berat dan agak sensitif apabila melibatkan UiTM kerana ia institusi keramat kita yang menekankan soal Bumiputera, keadilan dan sebagainya," katanya.
Beliau ditemui pemberita di luar pekarangan pintu belakang UiTM Shah Alam hari ini.
Hazim menyifatkan, tuntutan mahasiswa merupakan satu perkara yang jelas iaitu memastikan maklumat berkaitan isu UiTM Holdings diketahui masyarakat, khususnya golongan mahasiswa dan belia, selain memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa sebarang gangguan.
"Kami hadir bukan untuk merosakkan fasiliti atau sebagainya, tetapi bersama rakan-rakan mahasiswa yang lain untuk memberi satu tamparan kepada pihak UiTM.
"Ini kerana isu kerugian UiTM Holdings bukan isu remeh dan dikaitkan dengan kes-kes yang masih di bawah siasatan pihak SPRM," ujarnya lagi.
PAC pada Mac 2024 lalu mendapati UiTM Holdings dan anak syarikatnya ketika itu belum mencapai objektif serta mandat asal untuk mencipta kekayaan kepada UiTM, mewujudkan peluang pelaburan dan meningkatkan kedudukan strategik perniagaan teras syarikat.
PAC turut mendapati suntikan modal berjumlah RM259.98 juta oleh UiTM antara 2007 hingga 2018 bagi pemilikan saham dalam UiTM Holdings tidak selaras dengan Akta Universiti Teknologi MARA 1976 kerana tidak mendapat kelulusan Menteri Kewangan.
UiTM Holdings sebelum ini dilaporkan mencatat kerugian sebelum cukai terkumpul kira-kira RM157 juta bagi tahun kewangan 2017, 2018, 2019 dan 2021.




Comments