top of page

Negara perlukan RUU Peruntukan Dana Politik elak parti terima dana meragukan



Pembongkaran sumbangan politik dalam kes korupsi melibatkan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menghilangkan kepercayaan rakyat terhadap ahli politik.


Menurut Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, wang yang diberikan oleh syarikat Ultra Kinrara Sdn Bhd (UKSB) bukan sahaja kepada Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi waktu itu tetapi juga melibatkan 12 tokoh politik termasuk yang bergelar PM dan Menteri dengan nilai keseluruhan sebanyak RM70 juta.


"Jika kes ini berlaku di negara lain, ia sudah tentu mengegarkan politik negara tersebut dan mungkin menjatuhkan kerajaan. Namun di Malaysia, kita masih tidak melihat tindakan SPRM dan polis yang serius.


"Orang kata business as usual. Rakyat Malaysia seolah-olah sudah menyerah kalah dengan kes-kes rasuah ini," katanya.


Kata Sim, kes melibatkan UKSB bukanlah kes mahkamah pertama terkait sumbangan politik. Kes-kes terdahulu termasuklah kes bekas Menteri Tengku Adnan oleh Pengarah Urusan Syarikat Asset Kayamas, kes Rosmah Mansor oleh Jepak Holdings Sdn Bhd juga kes bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman dan banyak lagi.


"Bagaimana kita mahu menyelamatkan institusi demokrasi dan pilihan raya atau mengembalikan kepercayaan terhadap ahli politik?


"Menjelang PRU15 ini, satu lagi reformasi penting perlu dilakukan. Saya ingin mencadangkan RUU Peruntukan Dana Politik oleh Kerajaan dan Kawalan Dana Politik (Political Funding by the Government and Political Funding Transparency Act) dibentang dan diluluskan di Parlimen.


"Langkah ini boleh membersihkan politik daripada rasuah politik," katanya.


Melalui RUU berkenaan, Sim mencadangkan kerajaan perlu memberi peruntukan secukupnya kepada parti politik untuk menguruskan parti dan menjalankan kempen pilihan raya.


Katanya, peruntukan hanya melibatkan nilai yang sederhana tanpa menjejaskan kewangan negara.


"Jabatan Audit Negara akan bertanggungjawab mengaudit segala perbelanjaan parti-parti politik secara ketat dan telus kerana menggunakan peruntukan negara.


"Cadangan RUU ini bertujuan memutuskan rasuah politik oleh pihak swasta yang sangat berleluasa. Kerugian negara dalam isu rasuah politik begitu parah. Cadangan ini dijangka akan membersihkan politik negara.


"RUU seperti ini telah dilakukan di Jerman dengan jaya. Dana politik disumbangkan oleh kerajaan untuk parti-parti politik beroperasi dan bertanding. Sumbangan dana politik oleh syarikat swasta juga dikawal dengan sangat ketat dan tidak digalakkan.


"Model Jerman ini terbukti berjaya dan menghentikan rasuah serta skandal politik di negara tersebut," katanya lagi.


Dengan lulusnya RUU anti lompat parti minggu lepas, jelas Sim, tidak ada sebab RUU peruntukan dana politik tidak boleh diluluskan.


"PRU15 kali ini dijangka akan menjadi medan pertembungan yang paling sengit dalam sejarah negara. Parti-parti bersaing memerlukan dana yang sangat tinggi demi memenangi PRU. Kita tidak harus membiarkan rasuah politik menjadi lebih parah.


"Malaysia harus mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem politik dan pemimpin negara kita sebelum PRU15. Rakyat harus menuntut RUU Peruntukan Politik oleh kerajaan dan kawalan dana politik dibentangkan dalam sidang Parlimen bulan Oktober depan," katanya lagi.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page