top of page

Negara penghasil vaksin guna kaedah saringan Covid 19 besar-besaran kekang jangkitan


Kerajaan Perikatan Nasional perlu mengubah strategi dalam menangani kadar jangkitan Covid 19 yang terus tinggi walaupun negara telah mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 atau lockdown sejak 1 Jun lalu.


Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Malaysia mungkin perlu mempelajari pengalaman negara-negara penghasil vaksin seperti United Kingdom (UK) atau China yang tidak bergantung kepada proses vaksinasi tetapi melakukan ujian saringan Covid 19 besar-besaran untuk mengawal jangkitan di negara mereka.


"Kita boleh belajar daripada pengalaman negara lain seperti UK dan China. Kedua-duanya pengeluar vaksin. Sekiranya mereka mahu, mereka boleh beri tumpuan pada penghasilan vaksin dan menyuntik penduduk mereka begitu sahaja.


"Namun mereka tidak melakukannya. UK mengadakan saringan besar-besaran yang dikenali Operation Moonshot. Mereka melakukan sekurang-kurangnya 209,341,895 ujian walau negaranya seramai 68 juta orang sahaja. Jumlah saringan itu tiga kali ganda daripada bilangan penduduknya.


"Begitu juga China. Saya baca laporan awal bulan lalu mengenai bandar Guangzhou dan bagaimana mereka begitu cepat mengekang lonjakan kes Covid-19. Selepas mengenal pasti perebakan awal Jun, Guangzhou menjalankan 18 juta ujian dalam masa tiga hari.


"Tindakan itu sangat luar biasa besar dan harus menjadi penanda aras kerja kita. Jadi resipi kejayaan sudah jelas, saringan dan vaksin. Saya sering menjelaskan pendirian ini dalam semua pertemuan saya dengan agensi negeri dan persekutuan, termasuk dengan perdana menteri dan menteri penyelaras vaksin," katanya dipetik media Sunday Star, semalam.


Oleh itu, kata Amirudin lagi, tindakan bersepadu antara ujian saringan dan suntikan vaksin perlu dilaksanakan dalam masa akan datang bagi menurunkan kadar kes harian di Malaysia


"Pada akhirnya, suara berasaskan kajian sains mempunyai kekuatannya dan saya gembira kerana kita sudah mula mempunyai persefahaman lebih baik mengenai cara terbaik bergerak ke hadapan.


"Kita berharap dapat meningkatkan kadar suntikan kepada 135,000 dos setiap hari pada akhir Julai dan 165,000 dos setiap hari pada akhir Ogos.


"Sekiranya kita dapat memberikan vaksin kepada seramai mungkin pekerja kilang termasuk pekerja asing, maka kilang tidak perlu ditutup. Kalaupun kita tutup kilang dan kemudian pekerja itu tinggal di rumah, mereka masih akan dijangkiti selagi tidak diberikan vaksin," katanya.


Mengenai kebimbangan melongsornya 600,000 isi rumah kategori berpendapatan menengah (M40) ke dalam kategori B40, MB berjanji akan memberi bantuan kepada golongan tersebut dalam menghadapi kesukaran ketika pandemik.


"Laporan Majlis Tindakan Ekonomi baru-baru ini masih terngiang-ngiang di telinga saya. Sekurang-kurangnya 600,000 isi rumah kategori berpendapatan menengah telah jatuh ke dalam kategori B40.


"Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 yang dilancarkan awal Jun, Kerajaan Selangor akan menggerakkan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat kepada golongan M40 dan B40. Kita perlu terima hakikat betapa kesan pandemik menjejaskan kelas menengah dan kita tidak boleh mengabaikan nasib mereka," katanya lagi.


0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page