Negara menua: Kerajaan bangun pelan Tindakan Penuaan Kebangsaan
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan kini telah membangunkan rangka Tindakan Penuaan Kebangsaan (NAB) 2025–2045, satu tindakan pragmatik bagi mempersiapkan Malaysia menghadapi status negara tua.
Pemangku Menteri Ekonomi, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan (gambar) berkata, usaha mempersiapkan negara ke arah status masyarakat menua adalah satu cabaran kompleks yang memerlukan pertimbangan pelbagai aspek, termasuk keperluan fiskal, pasaran buruh, sistem kesihatan dan penjagaan.
''Bagaimanapun, rangka NAB yang telah dibangunkan merangkumi rancangan dasar, rangka kerja dan pelan tindakan dalam bidang ekonomi, pekerjaan, pendidikan, pelindungan sosial, kesihatan dan penjagaan jangka panjang yang menyeluruh.
''Fokus NAB telah diterjemah melalui strategi dan inisiatif khusus di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mempersiapkan Malaysia menuju negara tua,'' katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan Sim Tze Tzin (PH–Bayan Baru) yang meminta penjelasan mengenai fenomena penuaan populasi yang sedang dialami negara, serta langkah persediaan kerajaan dalam menghadapi situasi tersebut.
Tze Tzin turut meminta unjuran trend populasi, kadar kelahiran, kematian dan perkahwinan bagi tempoh 10 tahun akan datang.
Menjelaskan lebih terperinci, Amir berkata, Malaysia telah menjadi negara menua pada 2021 apabila populasi berumur 65 tahun ke atas mencapai 7% daripada jumlah penduduk.
Katanya, Malaysia diunjurkan menjadi negara tua menjelang 2048 berdasarkan statistik terkini Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) pada Julai 2025 apabila populasi yang sama mencecah 14 peratus daripada jumlah penduduk.
Tambah Amir lagi, peningkatan jangka hayat dan kemerosotan kadar kesuburan menyebabkan jumlah penduduk umur muda antara 0 hingga 14 tahun akan terus berkurang, sementara jumlah penduduk umur tua lebih 65 tahun akan terus meningkat.
''Berdasarkan statistik DOSM, penduduk Malaysia pada tahun 2025 adalah seramai 34.2 juta dan diunjurkan meningkat kepada 36.4 juta pada 2030 serta 38.3 juta pada 2035.
''Kadar kesuburan jumlah (TFR) diunjurkan terus berkurangan dari 1.67 anak pada tahun 2025 kepada 1.66 tahun 2030 dan 1.6 pada 2035.
''Bagi setiap wanita berumur antara 15 hingga 49 tahun, TFR ini berada di bawah paras penggantian sejak tahun 2013.
''Taraf kematian 2.1, manakala kadar perkahwinan kasar iaitu bilangan perkahwinan bagi setiap 1,000 penduduk dalam tahun tersebut telah pun menurun kepada 6.6 perkahwinan pada 2022 kepada 5.7 perkahwinan pada 2023,'' jelas beliau yang juga Menteri Kewangan II.