Negara kuat dibina atas kebersamaan, bukan politik ketakutan
- Azuan Ab Rahman

- 5 hours ago
- 2 min read

Negara yang kuat dan bersatu hanya boleh dibina apabila setiap rakyat merasakan mereka mempunyai tempat dan masa depan dalam negara ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Chang Lih Kang (gambar) berkata, negara ini tidak boleh dibina atas politik ketakutan, perpecahan atau sentimen kaum dan agama.
Tindakan memainkan isu kaum dan agama secara berlebihan dan tidak bertanggungjawab demi meraih sokongan hanya akan memecah-belahkan masyarakat dan menimbulkan rasa tidak puas hati antara komuniti, tegasnya.
Lih Kang yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim turut menjelaskan, perbezaan etnik, agama, latar belakang dan pandangan politik tidak seharusnya menjadi alasan untuk mana-mana rakyat diketepikan atau dilayan secara berbeza.
Dalam sebuah negara yang demokratik, setiap rakyat berhak berkata: "Malaysia ini negara saya juga."
Menerusi satu artikel bertajuk “This Is My Country, Too!”, Lih Kang menegaskan, Malaysia memerlukan institusi yang kukuh dan profesional, undang-undang yang dilaksanakan secara adil serta perkhidmatan awam yang tidak membezakan rakyat berdasarkan kaum, agama atau fahaman politik.
"Tadbir urus yang baik merupakan perlindungan paling kukuh terhadap perkara tidak diingini," katanya.
Menerusi tulisan sama beliau turut berkata, perpaduan yang dibina berasaskan rasa kebersamaan lebih berdaya tahan berbanding perpaduan yang lahir daripada paksaan.
"Kita harus menolak kecenderungan untuk memecah-belahkan rakyat demi kepentingan politik yang sempit. Kita harus menentang kecenderungan untuk menggunakan jentera negara secara berlebihan atau dengan pendekatan keras.
"Mereka yang diamanahkan dengan jawatan perlu sedar bahawa kepimpinan ialah satu ‘amanah’ yang perlu dilaksanakan dengan rendah hati, kebijaksanaan dan bertanggungjawab," kata beliau.
Mengulas mengenai patriotisme, Lih Kang berkata Jalur Gemilang wajar dihormati sebagai simbol sejarah, perjuangan dan harapan negara untuk masa depan.
Bagaimanapun beliau menzahirkan kebimbangan penguatkuasaannya berlebihan sehingga kesilapan kecil yang tidak disengajakan boleh menghakis semangat patriotisme.
"Niat penting, konteks penting, maka hukuman setimpal juga penting. Sebagai anggota masyarakat, kita tidak seharusnya bertindak keterlaluan terhadap kesilapan yang benar-benar tidak disengajakan.
"Sebaliknya, kita harus menunjukkan empati dan sifat pemaaf. Negara bukan tempat untuk mereka yang sentiasa cuba menghasut kebencian dan memecah-belahkan kehidupan kita," tambahnya.




Comments