Negara kehilangan cendekiawan Islam unggul – Anwar
- Suara Keadilan

- Jun 27
- 1 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa dukacita atas pemergian tokoh pemikir Islam dan sahabat karib beliau, Prof Datuk Dr Muhammad Nur Manuty yang meninggal dunia pada Khamis.
Menurut Anwar, Allahyarham merupakan sosok penting dalam perjuangan pemikiran Islam progresif, pendidikan dan wacana intelektual negara.
"Saya terkesan dan sangat sedih dengan pemergian beliau, tatkala kami sempat bertemu beberapa hari yang lalu.
"Saya mendoakan roh beliau diampuni Yang Maha Esa dan ditempatkan bersama para syuhada, serta keluarganya dikurniakan kekuatan, kecekalan dan ketabahan oleh-Nya, Insya-Allah," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Muhammad Nur merupakan bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan aktivis Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN), menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang pada usia 76 tahun.
Dalam bidang akademik dan pentadbiran, Allahyarham pernah dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dari 2018 hingga 2021 sebelum memegang jawatan sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) pada 8 Mei 2023.
Januari lalu, beliau menerima anugerah tertinggi daripada Persatuan Mualaf Singapura (MCAS) sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan besar beliau dalam membina kapasiti masyarakat Islam di peringkat serantau.
Sementara itu Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar buat umat Islam di tanah air.
Dalam satu kenyataan beliau menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang istiqamah memperjuangkan agenda ilmu dan pemikiran Islam sebagai pensyarah, penulis dan intelektual yang disegani, bukan sahaja di dalam negara tetapi juga di peringkat antarabangsa.
"Allahyarham dikenang sebagai murabbi umat yang sejati, yang teguh pada prinsip, tenang dalam tindakan, penuh hikmah dalam menyantuni perbezaan, dan bijaksana dalam memandu generasi," katanya dalam satu kenyataan.









Comments