Tiga bulan selepas kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah, rakyat mula merasakan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) jauh lebih efisen dan selesa.
Menurut Naib Pengerusi AMANAH Negeri Perak Dr Muhaimin Sulam, rakyat mula rindu akan sentuhan PH dalam menangani masalah negara. Mereka yakin dengan saratnya pengalaman serta penuh kematangan dua nama besar, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, maka PH akan mampu meletakkan kembali negara pada landasan sebenar dalam perjuangan menentang najis rasuah.
Sehubungan itu, katanya, usaha memburuk-burukkan kedua-dua tokoh tersebut sedang giat dilakukan oleh tentera siber PN agar kembali bercakaran sebagaimana dua dekad lalu.
"AMANAH Perak yakin propaganda di media sosial tidak akan menghakis keyakinan kedua-dua tokoh ini untuk terus memikirkan jangan mensia-siakan mandat rakyat, malah mencari jalan keluar agar negara kembali ditadbir mengikut kehendak rakyat.
"Isu pemberhentian kerja, kenaikan bil eletrik dan air, kenaikan minyak kenderaan serta pelbagai isu sampingan amat memerlukan pandangan sisi kedua-dua tokoh ini. Rakyat juga inginkan sinergi kedua-dua tokoh ini mengembalikan kedudukan negeri pada satu tahap pencapaian yang tinggi serta pentadbiran yang benar-benar bersih," katanya dalam satu kenyataan.
Justeru itu, Dr Muhaimin menyeru agar Anwar dan Dr Mahathir tidak terpengaruh dengan usaha memburuk-burukkan kerjasama antara kedua-dua di media sosial.
"Mereka hendaklah terus membuktikan kesanggupan mengenepikan perbezaan pandangan politik demi mengeluarkan rakyat daripada beban hidup lantaran pandemik Covid-19 yang melanda negara serta tekanan akibat kejatuhan ekonomi seluruh dunia," katanya lagi.
Untuk rekod, kerajaan PH Plus hampir terbentuk setelah beberapa siri rundingan yang dimulakan sejak awal Jun lalu. Namun isu calon Perdana Menteri menemui jalan buntu dan menghalang langkah seterusnya untuk peralihan kuasa.
Comments