Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada keluarga yang terbabit kebakaran di Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Selasih, Presint 17, Putrajaya pada Jumaat lalu.
Sumbangan itu diserahkan Setiausaha Politiknya, Muhammad Kamil Abdul Munim kepada Zul Izmal Mohd Bakir, 45, yang merupakan kakitangan Bahagian Dasar Perancangan Strategik, Jabatan Penerangan menerusi Program Ziarah Kasih Madani pada Selasa.
Muhammad Kamil ketika ditemui berkata, sumbangan oleh perdana menteri itu bagi meringankan beban yang ditanggung keluarga tersebut lebih-lebih lagi ia berlaku menjelang permulaan sesi persekolahan.
"Bantuan ini juga untuk menampung keperluan keluarga ini sementara menunggu siasatan lanjut," katanya.
Sementara itu, Zul Izmal berkata, beliau sekeluarga hanya mampu berlapang dada kejadian tersebut yang berlaku kira-kira 9.30 pagi menyebabkan kemusnahan lebih 80 peratus unit kediamannya yang terletak di tingkat tiga bangunan itu.
"Kesemua persediaan terutamanya untuk persekolahan empat anak termasuk baju sekolah dan buku rosak serta kotor tidak dapat dipakai," katanya.
Zul Izmal sementara itu menzahirkan penghargaan atas perhatian dan bantuan daripada Perdana Menteri menerusi inisiatif program tersebut.
Beliau turut menjelaskan, ketika ini mereka sekeluarga menumpang di sebuah rumah transit yang disediakan pihak Perbadanan Putrajaya.
Comments