Narendra Modi puji ketajaman intelektual, kewibawaan PM Anwar
- Suara Keadilan
- 16 hours ago
- 1 min read

Perdana Menteri India, Narendra Modi, memuji komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam melaksanakan agenda pembaharuan Malaysia.
Dalam ucapan kepada komuniti India di Mines International Exhibition and Convention Centre (MIECC) pada Sabtu, Modi turut menyatakan rasa kagum atas ketajaman intelektual dan kewibawaan Anwar ketika menerajui Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun lalu.
"Perdana Menteri Anwar dan saya sudah bersahabat lama, malah sebelum beliau menjadi Perdana Menteri lagi.
"Pada tahun lalu, saya tidak dapat berkunjung ke Malaysia untuk Sidang Kemuncak ASEAN, namun saya berjanji kepada sahabat saya ini yang saya akan datang ke Malaysia dalam masa terdekat.
"Seperti dijanjikan, hari ini saya berada di sini," katanya dipetik.
Modi berada di Malaysia untuk lawatan rasmi selama dua hari bermula semalam, atas jemputan Perdana Menteri sebagai lawatan balas lawatan Anwar ke India pada Ogos 2024.
Sementara itu, Modi dalam ucapannya turut menyatakan penghargaan terhadap keyakinan Anwar terhadap potensi hubungan Malaysia-India serta penghormatan diterimanya semasa ketibaan di negara ini.
Jelasnya, hubungan India dan Malaysia terus mencapai tahap lebih tinggi dari tahun ke tahun.
"Ketika lawatan Anwar ke New Delhi tahun lalu, hubungan dua hala itu dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
"Hari ini, kita melangkah seiring sebagai rakan kongsi ke arah kemajuan dan kemakmuran. Kita meraikan kejayaan masing-masing seolah-olah kejayaan kita sendiri," jelasnya.





