top of page

Naratif UMDAP dikuasai DAP jadi senjata makan diri PN

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • May 11
  • 2 min read

ree

Naratif yang dimainkan laskar siber Perikatan Nasional (PN) kononnya UMNO tunduk kepada DAP dengan label "UMDAP Mantap" kini menjadi senjata makan tuan.


Label tersebut yang tular sekitar kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning bulan lalu bukan sahaja tidak menjadi senjata hebat sebagaimana diharapkan, namun diterima pula pengundi sebagai realiti semasa perkongsian kuasa antara parti parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk kesejahteraan rakyat.


Menurut penganalisis politik Datuk Dr Noor Azizan Majid, tohmahan UMDAP tidak berjaya memecah belahkan Kerajaan Perpaduan kerana rakyat telah maklum kerjasama politik itu terbentuk hasil kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bagi menjamin kestabilan politik dan pemerintahan Malaysia.


"UMNO tampil bertanggungjawab, menolak politik dendam dan sanggup berkorban ego demi kestabilan negara.


"Sebaliknya, tohmahan ini kini berpatah balik kepada PN sendiri. Mereka gagal menunjukkan kestabilan di negeri negeri yang ditadbir dan berdepan perpecahan dalaman serta bergelut dengan imej ekstrem," kata Dr Azizan dalam satu kenyataan sempena ulang tahun UMNO ke 79.


Tegas beliau, rakyat semakin celik bahawa politik perkauman dan kebencian tidak membawa kebaikan kepada negara.


Mengulas keputusan PRK Ayer Kuning dan masa depan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan, beliau berkata, mungkin konsep UMDAP boleh menjadi formula kejayaan di negeri negeri majoriti Melayu pada masa akan datang.


"Akhirnya UMDAP Mantap menjadi igauan ngeri buat PN kerana ia tidak memecahkan UMNO malah mengeratkan saf dan meneguhkan kesedaran ahli bahawa inilah saat untuk bangkit dengan lebih matang dan rasional," katanya lagi.


Untuk rekod, percubaan memecahkan penyokong Melayu dan Cina dalam Kerajaan Perpaduan dimulakan pembangkang pada PRK Mahkota tahun lalu.


Namun hasilnya majoriti kemenangan BN meningkat tinggi di DUN Mahkota. Begitu juga di DUN Ayer Kuning apabila majoriti BN bertambah sekitar 3,500 undi meskipun jumlah keluar mengundi amat rendah sekitar 50 peratus sahaja.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page