top of page

Naratif perkauman rugikan rakyat Negeri Sembilan – Veteran AMK

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 10 minutes ago
  • 2 min read

Rakyat khususnya pengundi di Negeri Sembilan dinasihatkan tidak lagi terpengaruh dengan naratif perkauman yang dimainkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menuju pada pilihan raya umum akan datang.


Veteran Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Ramlan Roes (gambar) berkata, naratif kononnya orang Melayu dan Islam berada dalam ancaman serta dakwaan bahawa DAP akan menguasai negara berjaya mempengaruhi sebahagian pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu sehingga menenggelamkan perbahasan mengenai prestasi sebenar Kerajaan Negeri.


Menurutnya, taktik berkenaan bukan sahaja memecahbelahkan masyarakat, malah merugikan rakyat kerana isu pembangunan, kebajikan dan pencapaian kerajaan gagal diberikan perhatian sewajarnya.


"Pada PRN baru-baru ini, naratif Melayu terancam, Islam terancam dan DAP dimainkan oleh pihak lawan. Malangnya, naratif negatif itu berjaya mempengaruhi sebahagian pengundi kerana isu ini sangat dekat di hati orang Melayu.


"Kita tidak mahu anak-anak kita mewarisi politik yang sentiasa memainkan isu perkauman. Sebagai orang Islam, kita diajar untuk saling mengenali antara pelbagai bangsa, bukannya hidup dalam ketakutan yang sengaja dicipta," kata Ramlan kepada Suara Keadilan.


Ramlan berkata, rakyat perlu dididik supaya berfikir secara rasional dan tidak terus dipengaruhi sentimen yang hanya membangkitkan ketakutan serta kebencian antara kaum.


Menurut beliau, kempen PRN lalu sepatutnya memberi ruang kepada rakyat menilai rekod pentadbiran Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, yang disifatkannya berjaya membawa pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan sepanjang lapan tahun mentadbir negeri.


Katanya, pelbagai kemudahan dalam bidang pendidikan, bantuan kepada rakyat serta pembangunan negeri yang dinikmati hari ini seharusnya menjadi ukuran utama pengundi, namun pencapaian itu tenggelam akibat naratif perkauman yang dimainkan secara berterusan.


Sehubungan itu, Haji Ramlan berharap pengundi, khususnya generasi muda yang lebih terdedah kepada pelbagai sumber maklumat, dapat membuat keputusan secara matang dengan menolak politik kebencian serta memilih kepimpinan berdasarkan rekod pentadbiran, integriti dan keupayaan membangunkan negeri demi kepentingan seluruh rakyat.


"Jangan ulangi kesilapan yang sama pada pilihan raya akan datang. Nilailah berdasarkan prestasi dan fakta, bukan naratif yang hanya menakut-nakutkan rakyat.


"Saya yakin khususnya anak-anak muda lebih bijak menilai maklumat dan tidak mudah terpedaya," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page