Naratif ekonomi Madani, teknologi hijau dilancar Ogos 2023 - Anwar
- Redzuan Shamsudin

- Jun 12, 2023
- 2 min read

Pelan ekonomi Madani yang akan membawa pendekatan baharu dalam dasar ekonomi masa hadapan negara akan dilancarkan pada Ogos 2023.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, dasar ekonomi tersebut akan lebih pro rakyat bawahan, teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui yang akan menjadikan Malaysia setaraf dengan negara maju lain dalam mengaplikasikan teknologi masa hadapan.
"Kita cuba meluncurkan naratif ekonomi Madani menjelang Ogos 2023. Sementara itu beberapa dasar segera yang terpaksa dilaksanakan akan diteruskan. Tetapi kepentingan naratif eknomi ini untuk memberikan satu hala tuju yang jelas dan memudahkan tindakan oleh kementerian dan jabatan berkenaan," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara di Putarajaya pagi tadi.
Selain itu, katanya mesyuarat juga mendengar taklimat daripada Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai keadaan ekonomi terkini negara serta rintangan yang bakal dihadapi dalam kemelut ekonomi dunia yang tidak begitu stabil.
"Tentunya pembentangan itu turut menyentuh hal lain yang menekankan keadaan ekonomi semasa dunia yang tidak begitu memberansangkan.
"Makanya tindakan perlu diambil untuk mengimbangi kelemahan ekonomi global. Keduanya tentang reformasi ekonomi yang akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang dan mempastikan kewujudan ekonomi nilai inggi yang mampan melalui pendekatan pengupayaan rakyat dan reformasi pasaran kerja.
"Ini selari dengan langkah kita ambil baru baru ini apabila kita bicara soal penubuhan pangkalan data pemerintah mencakup semua bidang disebut PADU.
"Pangkalan data yang mengumpul data di bawah masing masing jabatan dan kementerian," katanya.
Bagaimanapun, PM memberi jaminan bahawa dasar ekonomi Madani kelak akan mengikut contoh beberapa dasar yang telah dilaksanakan ketika ini seperti memansuhkan subsidi elektrik dan kos mengerjakan haji kepada golongan T20 yang kaya.
"Ini selari dengan pendekatan kita sebelum ini berkenaan tarif elektrik walaupun cuba dipermainkan oleh sesetengah pihak.
"Kerana tarif elektrik itu hanya bagi syarikat besar dan rumah kelompok peringkat atas (yang dihapus subsidi). Berlainan dengan cadangan kerajaan terdahulu yang mahu menaikkan kadar elektrik bagi semua rakyat
"Prisip inilah yang akan dipakai bagi semua rasionalisasi subsidi. Tidak perlu dipermainkan prinsip ini.
"Hala tuju road map peralihan tenaga juga kita akan teliti dan perbentangkan sebelum sesuatu program dan dasar peralihan tenaga yang menjadi satu keutamaan sekarang," katanya lagi.




Comments