NAM: Mufti Wilayah Persekutuan bantah keras usaha gugat akidah umat Islam


Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha, gerakan atau penyebaran fahaman yang cuba menggugat serta merosakkan pegangan akidah umat Islam di negara ini.
Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil (gambar) berkata sebarang bentuk penyelewengan akidah yang menyimpang daripada ketetapan al-Quran dan Sunnah perlu dipandang serius.
"JMWP menentang sekeras-kerasnya sebarang usaha, gerakan atau penyebaran fahaman yang cuba menggugat dan merosakkan pegangan akidah umat Islam di negara ini," tegas beliau dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan berkenaan dikeluarkan ketika isu New Age Movement (NAM) kembali menjadi perhatian susulan dakwaan yang mengaitkan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli dengan fahaman berkenaan.
Marhamah sebelum ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau menganut, mengamalkan atau menyebarkan NAM atau mana-mana ajaran yang bercanggah dengan akidah dan syariat Islam selain menegaskan beliau kekal berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Isu itu turut mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang mengadakan sesi pertemuan dan tabayyun bersama Marhamah dengan penglibatan Mufti Wilayah Persekutuan serta Panel Pakar Akidah JAKIM bagi meneliti perkara berkenaan dari sudut akidah, autoriti agama dan latar pemikiran NAM.
Dalam perkembangan sama, JMWP mengingatkan umat Islam supaya berpegang teguh kepada fatwa yang telah diputuskan berkaitan akidah dan tidak mudah terpengaruh dengan ajaran yang diragui kesahihannya.
"JMWP memandang serius sebarang bentuk penyelewengan akidah yang menyimpang daripada ketetapan al-Quran dan Sunnah, ijmak ulama serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi teras pegangan umat Islam di Malaysia," katanya.
Kenyataan itu turut menyeru masyarakat supaya merujuk sebarang kemusykilan berkaitan akidah kepada badan agama yang berautoriti dan tidak mengambil tindakan secara melulu sehingga boleh menjejaskan ketenteraman awam serta keharmonian masyarakat.
Ahmad Fauwaz menegaskan usaha mempertahankan akidah bukan hanya tanggungjawab institusi agama, sebaliknya amanah bersama umat Islam.
"Akidah yang sahih adalah tunjang kekuatan umat. Memeliharanya adalah tanggungjawab bersama," jelas beliau.
Fenomena NAM sebelum ini turut diberi perhatian kerajaan kerana fahaman berkenaan didakwa menyerap ke dalam masyarakat melalui program motivasi, pembangunan diri, kesihatan mental, kekeluargaan dan perniagaan.
Menurut Majlis Keselamatan Negara (MKN) antara unsur yang dikaitkan dengan doktrin NAM termasuk kebergantungan kepada kuasa dalaman manusia melalui konsep Law of Attraction, kepercayaan terhadap tenaga ghaib seperti aura dan chakra serta pencampuran unsur kepercayaan agama lain atas nama amalan spiritual.
Kerajaan juga sebelum ini memaklumkan bahawa Garis Panduan Program Motivasi Berunsur Islam edisi kedua 2025 telah dikemas kini dengan larangan terhadap unsur NAM seperti law of attraction, chakra, tantra dan breathwork yang bercanggah dengan akidah serta syariat Islam.
Malah, JAWI pada September lalu menganjurkan Seminar Kesedaran Akidah Wilayah Persekutuan 2026 yang secara khusus membincangkan “New Age Movement: Gerakan Ajaran Baharu di Era Moden” termasuk pengenalan asas dan perkembangan NAM di Malaysia.




Comments