Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Nor Adam meminta ahli dan penyokong UMNO di Pilihan Raya Kecil parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram mengabaikan 'nasihat' puak PN untuk jangan mengundi calon Pakatan Harapan (PH) jika mahu perubahan berlaku dalam UMNO.
Katanya, sikap tidak mahu menyokong calon parti sekutu itu tidak akan mengubah kepimpinanan dalam UMNO. Sebaliknya pengundi tersebut yang akan rugi sekiranya wakil rakyat pembangkang yang menang di kawasan mereka.
"Ada hari ini 'angin angin sepoi bahasa' yang tak faham bahasa. Mereka mengatakan kalau nak melihat perubahan dalam UMNO, orang UMNO kena mengundi PN.
"Dalam erti kata lain, kalau nak melihat UMNO berubah orang UMNO kena jadi pengkhianat dan mengundi PN.
"Ini satu analogi bodoh, tidak bijak dan tidak masuk akal," katanya dalam siaran Facebook live malam tadi.
Menurut Lokman, UMNO telah melalui proses demokrasi memilih pemimpin.
Pemilihan UMNO ke hadapan pula akan diadakan 4 tahun daripada sekarang, dan tidak mungkin ada pemimpin yang berubah posisi hasil sabotaj mana mana pilihanraya.
"Hari ini Umno tak bertanding di Pulai, Simpang Jeram pun mereka kata kita kena kalahkan calon PH bagi memastikan kepimpinan UMNO bertukar.
"Cubalah pakai otak. Di mana logiknya? Pemilihan Umno (hanya) akan berlaku dalam tempoh 6 bulan selepas Pilihan Raya Umum 2027.
"Lima tahun daripada sekarang. Apa pun pengkhianatan, sabotaj (parti) kawan yang dibuat, tidak akan merobah kepimpinan UMNO sebagaimana yang diceritakan oleh puak pro PN ini," katanya.
Lokman menegaskan, hanya ada satu cara untuk melihat UMNO kembali kukuh iaitu dengan keluar mengundi dan menangkan sesiapa sahaja calon daripada Kerajaan Perpaduan dan memperoleh keyakinan daripada rakan sekutu.
"Hari ini kalau nak lihat parti ini kembali kukuh, tak kira kem Ismail Sabri, kem Khairy Jamaluddin, kem Najib, kita sepatutnya hanya ada satu kem. Kem UMNO.
"Beri sokongan padu kepada kepimpinan UMNO, tidak pecah belah, dan menyumbang untuk kawan kawan dalam Kerajaan Perpaduan menang. Hanya dengan cara itu UMNO akan kembali kuat," katanya lagi.
Σχόλια