Najib tahanan rumah: Hak mutlak Agong, kerajaan tidak campur tangan


Keputusan membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman menerusi tahanan di rumah membuktikan Kerajaan MADANI tidak mencampuri hak mutlak Yang di-Pertuan Agong memberi pengampunan di bawah kuasa Perlembagaan Persekutuan.
Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Muhammad Iman Haziq Mohammad Hamizi (gambar) berkata, keputusan terhadap mantan Perdana Menteri ke-6 itu juga menunjukkan Pakatan Harapan menghormati kuasa institusi diraja meskipun PH kekal dengan pendirian memperjuangkan agenda anti rasuah.
Bagaimanapun, katanya, pengampunan diperolehi Najib berbeza daripada yang diperolehi Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2018 lalu.
"Pengampunan Datuk Seri Anwar dan Najib Razak itu berbeza, kesalahan pun berbeza. Keputusan (penahanan rumah) terhadap Najib membuktikan bahawa kerajaan PH bukan kerajaan menyalahgunakan kuasa kehakiman (dan) kita percaya ini adalah negara hukum.
"Tetapi adakah PH tidak menghormati keputusan terhadap Najib itu? Kita hormat dan kita terima dengan hati yang terbuka, tapi ada syarat yang telah ditetapkan mereka (Najib) kena patuh. Tengoklah (nanti) macam mana mereka nak selesaikan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Mengulas lanjut, Iman menyifatkan keputusan tahanan rumah itu bukanlah satu keputusan yang membebaskan sepenuhnya mantan Ahli Parlimen Pekan itu, sebaliknya mempunyai syarat yang perlu dipatuhi.
"Jangan terlampau selesa sebab ada lagi kes yang akan dibicarakan dan belum dijatuhi hukuman, yang kita tidak tahu lagi (sama ada) Najib bersalah atau tidak (ke penjara).
"Ketika orang sedang cakap-cakap PH ini benci Umno-BN, tapi kita menghormati keputusan Raja.
"Sedangkan di zaman Datuk Seri Ismail Sabri sendiri (jadi Perdana Menteri), perkara ini (tahanan rumah) tidak berlaku, tapi berlaku di bawah zaman PH, jadi politik yang dibawa PH ini bukan berunsur politik peribadi," kata beliau yang juga Ketua AMK Ampang.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah hingga 23 Ogos 2028 sekiranya beliau membayar denda RM50 juta.
Perkara itu diumumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) dalam kenyataan.
Ketetapan itu dibuat selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.




Comments