top of page

Najib Razak Didapati Bersalah Di Mahkamah, Bukan Fitnah Kedai Kopi



Oleh: Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif


Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak adalah Perdana Malaysia Ke 6, Presiden Umno - sebuah parti Melayu yang mendakwa memperjuangkan nasib orang Melayu dan beliau juga merupakan Pengerusi Barisan Nasional, sebuah gabungan parti-parti yang memerintah Malaysia sebelum dijatuhkan pada PRU14.


Najib Razak yang juga Ahli Parlimen Pekan telah dikenakan 25 pertuduhan jenayah pecah amanah, salah guna kedudukan atau kuasa dan jenayah penggubahan wang haram mengikut undang-undang Malaysia.


Beliau telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai 2020 atas 7 pertuduhan. Bukan 1, bukan 2 dan bukan 3 tapi 7 pertuduhan. Pertuduhan-pertuduhan tersebut melibatkan 3 jenayah pecah amanah, 1 pertuduhan salah guna kedudukan/kuasa dan 3 pertuduhan jenayah pengubahan wang haram. Atas kesemua sabitan pertuduhan tersebut Najib Razak telah dijatuhkan dengan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.


Najib Razak kemudiannya membuat rayuan kepada Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tersebut. Panel 3 orang hakim Mahkamah Rayuan pada penghakiman 8 Disember 2021 telah mengekalkan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang membabitkan kecurian RM42 juta wang rakyat.


Perkecil kebijaksanaan rakyat


Najib Razak terus mempertahankan dirinya dengan mengeluarkan satu kenyataan di twitter beliau, “I didn’t know, ask or instruct anyone to transfer RM42 million to my personal account.” Bermaksud, “Saya tidak tahu, tidak meminta dan tidak mengarahkan sesiapa memindahkan wang RM42 juta ringgit masuk ke dalam akaun peribadi saya.”


Kenyataan tersebut jelas berunsur satu penipuan awam yang memperkecilkan kebijaksaan rakyat Malaysia. Ini kerana kes jenayah beliau telah diadili dan diputuskan oleh 2 peringkat mahkamah utama dalam sistem kehakiman dengan 4 orang hakim melibatkan berpuluh orang saksi serta dokumen-dokumen termasuk transaksi wang yang jelas dan sahih.


Ringkasan Penghakiman Kes Rayuan Najib Razak setebal 54 muka surat telah dibaca dan dikeluarkan oleh 3 orang hakim Mahkamah Rayuan memperincikan pendapat hakim-hakim dalam membuat keputusan tersebut.

Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif

Pendapat panel 3 hakim kanan yang berpengalaman ini boleh dibahagikan kepada 4 bahagian berikut:


Pertama, bahawa kes SRC International Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai SRC ini bermula apabila pihak SRC mengemukakan permohonan untuk mendapatkan geran daripada pihak Kerajaan Malaysia melalui sepucuk surat kepada PM Najib Razak pada 24 Ogos 2010 untuk jumlah sebanyak RM3 bilion. Permohonan ini dibuat atas tujuan menjadikan SRC International sebuah syarikat penyumberan strategik negara untuk mengekalkan kepentingan strategik dalam bidang-bidang utama seperti arang batu, alumina, uranium dan besi serta minyak dan gas.


Unit Perancangan Ekonomi Jabatan Perdana Menteri atau EPU telah diminta oleh PM Najib Razak untuk meneliti permohonan berkenaan. Setelah diteliti EPU telah menolak permohonan SRC tersebut. Pihak EPU sebaliknya menawarkan geran sebanyak RM20 juta ringgit kepada SRC tetapi telah ditolak oleh pihak SRC.


Usaha dan niat Najib Razak untuk mendapatkan wang tidak terhenti dengan penolakan oleh EPU. Beliau telah mengambil langkah yang lebih bijak dan menyakinkan.


SRC International kemudiannya diletakkan di bawah MOF Inc. dan telah mengemukakan permohonan semula kepada PM Najib Razak melalui sepucuk surat bertarikh 3 Jun 2011 untuk mendapatkan pinjaman daripada Kumpulan Wang Amanah Pencen atau KWAP (dibaca sebagai duit rakyat) sebanyak RM3.95 bilion ringgit bagi tujuan “mencapai matlamat pelan pelaburan strategik syarikat SRC”.


Walau bagaimanapun pihak KWAP hanya akan bersetuju sekiranya Kerajaan Malaysia memberikan jaminan terhadap permohonan pinjaman SRC ini. Susulan itu, Najib Razak selaku PM telah membawa satu kertas kabinet di dalam mesyuarat kabinet untuk kelulusan Jaminan Kerajaan terhadap pinjaman RM2 bilion tersebut atas kedudukan/kuasa beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.


Kabinet Perdana Menteri Najib Razak telah meluluskan kertas kabinet yang dibawa sendiri oleh Najib Razak itu. Najib ketika membentangkan kertas tersebut tidak menyatakan kepentingan atau interest beliau sebagai Penasihat Emeritus kepada SRC International Sdn Bhd.


Permohonan pinjaman kedua sebanyak RM2 bilion kepada KWAP dari pihak SRC juga kemudiannya diluluskan dengan Jaminan Kerajaan oleh Kabinet yang dipengerusikan oleh Najib selaku Perdana Menteri.


Asas pertuduhan


Kehadiran dan penyertaan tertuduh, iaitu Najib di dalam meluluskan kedua-dua Pinjaman Jaminan Kerajaan untuk SRC daripada dana KWAP berjumlah RM4 bilion merupakan asas paling penting dalam Pertuduhan Seksyen 23 MACCA iaitu “Menggunakan kedudukan untuk mendapatkan imbuhan (diri sendiri)” atau lebih tepat dalam akta menyebut “the use of position for gratification”.


Kedua, setelah SRC menerima wang pinjaman RM4 bilion dari KWAP, pada 24 Disember 2014, pengarah-pengarah SRC sekaligus bertindak sebagai penanda tangan cek bagi akaun SRC International Sdn Bhd iaitu Nik Faizal dan Datuk Suboh telah mengarahkan AMIslamic Bank memindahkan RM40 juta dari akaun SRC kepada akaun Gadingan Menteri Sdn. Bhd. (GMSB). Pada hari yang sama GMSB telah memindahkan RM40 juta tersebut ke dalam akaun Ihsan Perdana Sdn. Bhd. (IPSB).


Manakala pada 26 Disember 2014 iaitu selepas 2 hari IPSB menerima wang dari SRC, IPSB telah memindahkan wang RM27 juta yang merupakan sebahagian dari wang RM40 juta itu ke dalam akaun peribadi 1 Najib Razak di AMBank iaitu Akaun 880.


Pada hari yang sama itu juga, wang RM5 juta pula dipindahkan dari akaun IPSB ke akaun peribadi 2 Najib Razak di AmBank iaitu Akaun 906. Ketika ini jumlah pindahan wang ke dalam akaun peribadi Najib Razak bagi akaun 1-880 dan akaun 2-906 di Ambank ialah berjumlah RM32 juta.


Pada 5 dan 6 Februari 2015, sejumlah RM10 juta lagi telah dipindahkan dari akaun SRC kepada akaun GMSB. Maka, GMSB sekali lagi telah memindahkan wang RM10 juta tersebut kepada akaun IPSB.


IPSB akhirnya pada 10 Februari 2015, telah memindahkan wang RM10 juta yang diterimanya dalam tempoh 4 hari sebelum ini ke akaun peribadi 1 Najib No. 880. Kemudiannya wang itu dipindahkan pula ke akaun peribadi 2 Najib No. 906.


Jadi keseluruhan kenyataan saksi-saksi yang terlibat berserta bukti dan dokumen transaksi bank telah membuktikan bahawa telah masuk ke dalam akaun peribadi Najib Razak sebanyak RM42 juta wang yang berasal dari SRC International Sdn Bhd, yang diperolehi dari pinjaman wang Kumpulan Wang Amanah Persaraan, iaitu wang rakyat Malaysia.


Asas pertuduhan ini, Najib Razak sebagai Perdana Menteri pada ketika itu mempunyai kuasa mutlak untuk melantik atau memecat sesiapa sahaja sebagai Pengarah SRC International Sdn Bhd. Segala perjalanan pengurusan syarikat SRC dilaporkan terus kepada Najib dan dalam pengetahuan serta arahan beliau kesemua transaksi-transaksi tersebut berlaku dan dilakukan.


Najib Razak selaku Menteri Kewangan Malaysia juga mempunyai kuasa untuk meminda sebarang perkara di dalam Memorandum and Articles of Association (M & A) Syarikat SRC International Sdn Bhd.


Dalam masa yang sama Najib berperanan sebagai Penasihat Emeritus di bawah M & A Syarikat. Ini kerana SRC International Sdn Bhd ini merupakan salah sebuah syarikat di bawah MOF Inc.


Ketiga, sewaktu Panel Pelaburan KWAP sedang meneliti permohonan pinjaman dari SRC, dan ingin mencadangkan agar meluluskan permohonan pinjaman untuk SRC sebanyak RM1 bilion ringgit dan bukannya RM2 bilion sebagaimana yang dipohon oleh SRC, Najib dengan menggunakan kedudukannya sebagai PM telah terlebih dahulu memberi arahan.


Malangnya, belum sempat cadangan ini dimuktamadkan oleh KWAP, PM Najib telah memaklumkan kepada Tan Sri Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, Pengerusi Panel Pelaburan KWAP merangkap Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan supaya mempercepatkan kelulusan pinjaman SRC tersebut. Najib memaklumkan kepada Tan Sri Wan Abdul Aziz bahawa RM2 bilion ringgit adalah jumlah yang “cukup”.


Maka, atas arahan ini, pada 19 Julai 2011, pinjaman KWAP-duit rakyat kepada SRC telah diluluskan sebanyak RM2 bilion tertakluk kepada jaminan yang diberikan pihak kerajaan


Ini juga merupakan asas pertuduhan dari pihak pendakwa raya yang membuat pendakwaan terhadap Najib Razak bahawa apabila Perdana Menteri atau Menteri Kewangan iaitu Najib Razak menyatakan bahawa beliau bersetuju dengan cadangan pinjaman RM2 bilion tersebut, tiada seorang pun pegawai dari pihak Kerajaan Malaysia atau SRC boleh dan berani membantah. Mereka akhirnya mengikut dan melaksanakan sahaja arahan.


Derma Arab Saudi


Keempat, adalah berhubung isu “Derma Dari Keluarga Diraja Arab Saudi”.


Najib Razak di dalam rayuan beliau di mahkamah menyatakan bahawa dia beranggapan, wang RM42 juta yang masuk ke akaun beliau di Ambank tersebut adalah dari sumbangan dari Keluarga DiRaja Arab Saudi.


Para hakim dalam memutuskan hal ini telah memberi penghakiman bahawa sepanjang perbicaraan, individu yang didakwa menandatangani surat berhubung derma tersebut tidak dipanggil untuk membuktikan kesahihan surat tersebut. Malah, menurut siasatan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang terbang ke Arab Saudi mengesahkan bahawa surat itu merupakan dokumen yang ditandatangani oleh seorang peguam kepada putera raja Arab dan bukannya putera itu sendiri, sebagaimana yang didakwa. Oleh yang demikian, mahkamah beranggapan surat berkaitan derma tersebut hanyalah “hearsay” atau khabar angin semata-mata dan tidak boleh diterima sebagai bukti oleh pihak mahkamah.


Dalam masa yang sama mahkamah juga mempunyai bukti jumlah sebenar sumbangan Keluarga Diraja Arab Saudi tersebut yang telah masuk dan keluar dari akaun-akaun bank Najib pada tahun 2013, iatu 1 tahun sebelum berlakunya jumlah transaksi besar RM42 juta yang datang dari akaun SRC, ke akaun-akaun peribadi 1 dan 2 Najib di Ambank pada tahun 2014.


Panel hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Yang Arif Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Yang Arif Datuk Has Zainah Mehat dan Yang Arif Datuk Vazeer Alam Mydin Meera telah memutuskan bahawa kesemua 7 pertuduhan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Razak adalah telah dibuktikan melampaui keraguan yang munasabah.


Keputusan Panel 3 orang hakim ini sekaligus mengekalkan keputusan sabitan dan hukuman yang dibuat oleh Yang Arif Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini.


Rumusan dari keseluruhan perbicaraan dan keputusan hakim-hakim dari Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan adalah membuktikan 1 perkara penting.


Keputuan kes jenayah


Perkara tersebut adalah bahawa pemimpin No.1 Umno, iaitu Presiden Umno sendiri yang juga merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Mohd Najib Razak adalah seorang pesalah jenayah yang melakukan jenayah pecah amanah, penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram di bawah undang-undang negara Malaysia.


Kesemua sabitan kes dan hukuman ini bukanlah satu fitnah tetapi ia adalah fakta pahit yang memalukan negara Malaysia. Ia juga manifestasi sebuah kerosakan akal budi yang telah dilakukan oleh pimpinan sebuah parti Melayu Umno dan BN yang pernah memerintah Malaysia. Ia secara tidak langsung mengambarkan akar budaya yang sarat dengan kotoran minda korupsi dan sifat kesombongan penyalahgunaan kuasa dalam Umno dan BN.


Pertuduhan terhadap Najib Razak belum lagi selesai. Masih ada berbaki 18 pertuduhan yang belum dibicarakan! Ayuh, sedarlah wahai bangsaku, para penyokong Umno serta penyokong Pas (yang pernah membantu itik patah kaki ini) dan anak-anak muda Melayu bahawa Umno dan Barisan Nasional itu korup dan penuh dengan koruptor!


Terimalah kenyataan bahawa bekas Perdana Menteri Najib Razak itu korup. Parti Umno yang mendokong Najib Razak itu adalah parti korup. Barisan Nasional yang menjadi pemerintah yang kalah dalam PRU14 itu juga adalah gabungan yang terpalit dengan korupsi.


Kita sebagai warganegara yang waras dan memiliki maruah diri mestilah menolak dan tidak lagi memberi peluang kepada Umno dan BN memerintah negara. Percayalah, hanya undi anda kepada KEADILAN - Pakatan Harapan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang boleh membantu memulihkan kerosakan yang maha dahsyat ini.


Sesungguhnya, Malaysia merupakan sebuah negara kanun dan bukannya negara lanun. Justeru, cerita Najib Razak bersalah kerana mencuri RM42 juta wang rakyat adalah fakta benar dari mahkamah dan bukannya cerita fitnah di kedai kopi.


Sumber rujukan penulis : suaramerdeka.com (9 Disember 2021), bharian.com.my (9 Disember 2021), hmetro.com.my (8 Disember 2021), sinarharian.com.my (7 Disember 2021).

______________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ahli Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat Terengganu

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page