Keputusan mahkamah yang mendapati Najib Razak bersalah atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dalam kes SRC International jelas membuktikan perkara itu adalah fakta, bukannya fitnah semata-mata.
Malah, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkata segala kenyataan yang dibuat oleh pemimpin Pakatan Harapan (PH) selama ini ternyata bukan sekadar cakap-cakap kosong.
"Salah laku Najib ini sudah diperjuangkan selama ini oleh pembangkang. Datuk Seri Anwar Ibrahim sendiri antara yang paling awal membongkarkannya pada 2011.
"Ramai pemimpin pembangkang bangkit dan menggesa supaya Najib harus disiasat dan kami yakin ada penyelewengan. Dakwaan-dakwaan ini dibuat oleh ramai pihak termasuklah Rafizi Ramli, Tony Pua dan Dr Dzulkilfy Ahmad," katanya dalam sidang media di Parlimen.
Johari berkata ia mengambil masa yang cukup lama untuk mengheret Najib ke muka pengadilan kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengambil serius terhadap isu rasuah dan penyelewengan.
"Pembangkang sering membawa isu ini namun pihak BN melihat perkara ini sebagai satu perkara yang enteng. Malah, ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14, Najib sewenang-wenangnya menggunakan slogan 'cash is king'.
"Namun akhirnya apa yang diharapkan rakyat menjadi kenyataan. Sebagai ahli parlimen, saya berasa lega isu yang diperjuangkan sekian lama ini terbukti bukan fitnah tapi fakta.
"Keadilan dan kebenaran dan hak rakyat dikembalikan serta-merta. Rakyat sentiasa mendoakan kes ini menemui penyelesaian dan kebenaran menjelma jua," katanya.
Comments