Naikkan kuota diesel bersubsidi di Sabah 500 liter sebulan
- Akmal Manaf

- 1 day ago
- 1 min read

Kerajaan disaran menyesuaikan kuota bantuan Diesel BUDI mengikut realiti kehidupan rakyat pedalaman Sabah yang berdepan jarak perjalanan jauh serta kebergantungan tinggi terhadap kenderaan bagi mencari rezeki dan mengurus keperluan harian.
Hal tersebut disuarakan Ketua Wanita KEADILAN Sabah, Datin Rufinah Pengeran yang menyifatkan diesel bukan sekadar bahan api, sebaliknya satu keperluan penting bagi rakyat pedalaman bergerak dari kampung ke pekan membawa hasil pertanian, menjalankan perniagaan kecil serta mengurus keperluan keluarga.
"Sehubungan itu, saya menyokong agar kuota BUDI Diesel dinaikkan kepada 500 liter sebulan. Bagi mengelakkan ketirisan pula, kuota boleh dihadkan kepada 125 liter seminggu.
"Saya juga menyokong agar kuota BUDI MADANI Petrol dikembalikan kepada 300 liter sebulan. Perkara itu amat penting khususnya kepada wanita, petani, peniaga kecil dan keluarga di pedalaman yang bergantung kepada kenderaan untuk mencari rezeki," katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, Rufinah menzahirkan kepercayaan bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sentiasa terbuka mendengar suara rakyat terutamanya dalam isu yang disuarakan beliau.
"Untuk Sabah, biarlah BUDI mengambil kira jarak, geografi dan realiti kehidupan masyarakat pedalaman. Kuota BUDI perlu disesuaikan mengikut keperluan zon dan lokaliti, supaya bantuan yang diberikan benar-benar adil dan berkesan.
"Kita tidak mahu dasar yang baik hanya dilihat dari angka, tetapi mesti dirasai manfaatnya oleh rakyat di akar umbi.
"Saya turut menyokong usaha Datuk Seri Anwar untuk terus meneliti dan menambah baik pelaksanaan BUDI agar benar-benar mengambil kira realiti kehidupan rakyat di Sabah, khususnya masyarakat di kawasan pedalaman," ujarnya lagi.




Comments