
Rancangan Makanan Tambahan (RMT) telah dilaksanakan di sekolah sekolah seluruh negara sejak sekian lama bagi menambah nutrisi kepada murid murid dalam kalangan keluarga B40.
Namun isu yang dipertikaikan sejak kebelakangan ini, jumlah peruntukan per murid pada kadar RM2.50 bagi Semenanjung dan RM3.00 sekepala di Sabah, Sarawak dan Labuan yang digunakan agak ketinggalan zaman
Bagi Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN Setiawangsa, Muhammad Azha Salahudin, peruntukan yang mengikut kadar harga barang sedekad lalu itu menyebabkan pengusaha kantin tidak mampu menyediakan makanan berzat secukupnya kepada murid.
"Peruntukan perlu ditambah kepada kadar yang lebih bermaruah iaitu RM4.00 dan RM4.50 per murid.
"Kadar yang rendah ini menyebabkan pengusaha kantin sekolah sukar menyediakan makanan yang lebih sihat kepada murid di sekolah sehingga mereka terpaksa memyediakan makanan dengan kuantiti yang sedikit.
"Ini memberikan kesan yang buruk terhadap kesihatan anak-anak murid kita dari aspek pemakanan seimbang yang akan menjejaskan tumbesaran dan kecerdasan mereka," ujarnya.
Tegas beliau, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah pimpinan Menteri Pendidikan, Radzi Jidin seharusnya peka dan bertanggungjawab serta mendengar keluhan serta permasalahan yang dihadapi oleh pengusaha kantin.
Kata Azha, Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) sebelum ini pernah menghantar cadangan kepada KPM supaya kadar kos RMT ditambah bagi memudahkan mereka untuk menyediakan makanan yang lebih berkhasiat.
"Namun sehingga ke hari ini tidak ada sebarang jawapan balas diberikan oleh pihak KPM bahkan jawapan dari Menteri Pendidikan sendiri mengenai cadangan tersebut.
"Radzi Jidin perlu meletakkan jawatan beliau sebagai Menteri Pendidikan jika tidak mampu menyelesaikan masalah ini.
"Isu ini bukan satu masalah kecil yang perlu dipandang sebelah mata oleh KPM. Isu ini melibatkan kesihatan anak-anak murid kita di sekolah yang akan menjadi generasi kepimpinan negara pada masa depan," katanya lagi.