Naik taraf Lapangan Terbang Tawau siap 2028, perkukuh ekonomi Sabah
- Suara Keadilan

- Sep 27
- 1 min read

Projek menaik taraf Lapangan Terbang Tawau dijangka mengubah wajah lapangan terbang itu menjadi lebih moden dan selesa dengan kapasiti baharu sehingga 2.5 juta penumpang setahun.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, projek bernilai RM120.9 juta itu dijangka siap pada tahun 2028 sekali gus memperkukuh peranannya sebagai pintu masuk utama pelancongan antarabangsa dan hab eksport makanan laut di pantai timur Sabah.
"Lapangan terbang ini dibina dengan kapasiti asal 1.5 juta penumpang setahun, tetapi jumlah pengguna sudah mencecah 1.83 juta pada 2019, melebihi had sehingga 22 peratus.
"Projek ini sangat mendesak untuk menampung pertumbuhan yang berterusan," katanya dipetik ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf Lapangan Terbang Tawau pada Jumaat.
Projek merangkumi pembinaan kemudahan berasingan bagi penumpang antarabangsa dan domestik, termasuk penyediaan kawasan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) bagi menyokong pertumbuhan trafik pelancongan dan logistik serantau.
Anthony Loke sementara itu memaklumkan, projek akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan operasi lapangan terbang tidak terjejas.
"Kita tidak boleh tutup lapangan terbang selama tiga tahun. Operasi mesti berjalan seperti biasa. Ini cabaran, tapi dengan perancangan dan koordinasi rapi, ia boleh dilaksanakan," tambahnya.
Lapangan Terbang Tawau ketika ini mengendalikan penerbangan terus dari Guangzhou, China dan menjadi pintu masuk utama pelancong ke kawasan popular seperti Semporna.









Comments