Naik taraf laluan Kelantan - Terengganu elak kesesakan teruk di musim perayaan
- Suara Keadilan
- Apr 13, 2024
- 2 min read

Kerajaan Persekutuan dicadangkan menaiktaraf laluan Persekutuan 3 Kota Bharu-Kuala Terengganu dan laluan 3685 jalan pantai Kampung Raja-Batu Rakit bagi mengelakkan kesesakan setiap kali musim perayaan dan sesak luar biasa pada tahun ini.
Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Kemaman, Ahmad Nadhir Yob, meski pun pihak pembangkang berkata mood raya tahun ini terganggu kononnya akibat kenaikan harga barang namun semua itu hanyalah 'temberang' apabila begitu banyak kenderaan di dua negeri pembangkang itu berada di atas jalan raya serentak.
Oleh itu, beliau mencadangkan Kerajaan Persekutuan mengkaji pelebaran jalan berkenaan kerana telah tidak dinaiktaraf sejak puluhan tahun.
"KEADILAN Kemaman hari ini menggesa pihak Kerajaan Persekutuan supaya mempertimbangkan menaiktaraf dua jalan utama yang menghubungkan Kuala Terengganu ke Kota Bharu iaitu laluan persekutuan 3 dan juga laluan 3685 Kampung Raja-Batu Rakit berikutan kesesakan jalan raya yang begitu serius akhir-akhir ini setiap kali musim perayaan.
"Jumlah peningkatan kenderaan yang semakin tinggi dari tahun ke tahun menyebabkan dua jalan ini sudah tidak dapat menampung aliran trafik yang tinggi.
"Perjalanan daripada Kampung Raja ke Batu Rakit yang biasanya hanya mengambil masa sekitar 2 jam menjadi lebih daripada daripada 5 jam pada musim perayaan.
"Ini menyebabkan ramai pengguna laluan ini menghadapi kesukaran di dalam perjalanan mereka. Ada yang terpaksa bermalam di dalam kereta atau pun tidur di resort sepanjang laluan sebelum meneruskan perjalanan," katanya dalam kenyataan.
Tambah Ahmad Nadhir, laluan berkenaan juga mengalami kesesakan pada hujung minggu dan cuti lainnya kerana di sepanjang laluan itu terdapat kawasan tarikan pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong.
"Laluan 3685 terdapat banyak produk pelancongan yang menarik seperti gerai makanan laut di Penarik dan juga pantai yang cantik di Merang. Jika laluan ini dinaiktaraf impak ekonomi yang lebih positif dapat dirasai oleh rakyat.
"Justeru itu pihak KEADILAN Kemaman berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan cadangan ini agar memberi manfaat khususnya pengguna laluan ini dan penduduk di sekitar laluan ini," katanya lagi.
Comments