Kenaikan sewa tapak di kompleks perniagaan bangunan baharu Pasar Payang 1 di Kuala Terengganu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peniaga.
Sehubungan itu, Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Terengganu menuntut penjelasan daripada pihak Kerajaan Negeri Pas mengenai kenaikan tersebut.
Menurut Pengarah Komunikasi MPN KEADILAN Terengganu, Amira Alias, Kerajaan Negeri seharusnya menghalang kenaikan seperti itu kerana peniaga di Pasar Payang tidak mempunyai pendapatan tinggi untuk menyerap kos kenaikan sewa.
"MPN KEADILAN Terengganu hari ini menuntut penjelasan segera daripada pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan Kerajaan Negeri Terengganu berhubung kenaikan mendadak sewa di Pasar Payang.
"Kenaikan mendadak ini mengejutkan pelbagai pihak terutama para peniaga di Pasar Payang yang sebelum ini sudah puluhan tahun berniaga di sana
"Umum mengetahui peniaga di pasar ini kebanyakannya daripada golongan B40. Justeru kenaikan ini akan memberi impak kepada perniagaan mereka. Untuk menyerap kenaikan sewa ini mereka mungkin terpaksa menaikkan harga barangan jualan," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi Amira, Pasar Payang merupakan suatu ikon perlancongan yang terkenal di Terengganu, bahkan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Katanya, jika peniaga terpaksa menaikkan harga barang jualan ianya akan memberi impak kepada kedatangan pelancong ke Pasar Payang dan Negeri Terengganu.
"Oleh itu, pihak MPN Terengganu mendesak pihak berwajib memberi penjelasan berhubung perkara ini dan mencari jalan penyelesaian terbaik bagi mewujudkan situasi menang-menang bagi melindungi dan memperkasakan tarikan pelancong yang sudah menjadi lagenda kepada rakyat Terengganu," katanya lagi.
Sebelum ini, akhbar Sinar Harian melaporkan kenaikan deposit dan sewa di tapak perniagan Pasar Payang 1 itu mencecah 300% hingga 485% berbanding harga lama.
Seorang peniaga periuk belanga, Wan Saidah Abdul Ghani berkata, deposit sewaan menjangkau lebih RM3,000 dan kenaikan sewa pula, harga lama RM110 kepada RM400 harga baharu.
Peningkatan kadar sewa bergantung kepada saiz tapak perniagaan. Kadar sewa lama yang perlu dibayar oleh peniaga antara RM110 hingga RM380 manakala kadar baharu di antara RM400 hingga RM1,600.
Menurut peniaga yang ditemubual oleh media berkenaan, perniagaan di pasar itu lebih kepada bermusim. Pada bulan bulan bukan perayaan atau cuti sekolah hasil perniagaan tidak tinggi dan tidak mampu membayar kadar sewa baharu tersebut.
Comments