top of page

Naik nilai ringgit: Fokus struktur jangka panjang ekonomi negara



Oleh: Helmi Mohd Foad


Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak boleh lagi bergantung kepada kaedah lama menggunakan wang rizab negara untuk didagangkan di pasaran mata wang bagi tujuan mengukuhkan nilai ringgit.


Sebaliknya beliau berkata, pentadbiran sekarang perlu menumpukan fokus bagi tempoh jangka masa panjang dengan melakukan penstrukturan ekonomi, mengukuhkan fiskal dan mengurangkan kadar hutang.


"Kita tidak boleh guna style dulu, pakai duit rizab kita pergi main pasaran mata wang hanya nak tunjuk (nilai) ringgit ini nak kukuh, nanti dia jadi macam KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), untuk politik nampak cantik kukuh, (tetapi) habis berbilion ringgit di pasaran.


"Kena bersabar orang hentam macam mana pun, kita kena tumpu usaha menstrukturkan ekonomi kita supaya tiga empat tahun akan datang banyak industri dan syarikat yang boleh menawarkan potensi pulangan lebih baik dan yang ini akan menarik minat pelabur kepada Malaysia. Lagi banyak minat ke Malaysia maka lebih banyak wang akan masuk dan ringgit akan naik," katanya dipetik dari klip video rancangan Podcast Yang Bakar Menteri yang dikongsi dalam Facebook beliau baru-baru ini.


Rafizi berkata, kesan jangka masa pendek yang menjadi faktor kejatuhan ringgit sudah diketahui semua pihak iaitu akibat tindak balas dua ekonomi besar dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China.


Katanya kadar faedah yang tinggi di AS menyebabkan aliran wang masuk besar besaran ke negara kuasa besar itu manakala China yang mengalami pertumbuhan perlahan turut mempengaruhi Malaysia.


"Pertumbuhan empat hingga lima peratus China dianggap rendah berbanding dahulu mencecah lapan peratus, oleh kerana China adalah rakan dagang kita yang besar maka bila ada masalah ia ada kesan kepada ringgit kerana pelabur dan pedagang mata wang merasakan ekonomi kita akan terheret sama," ujarnya.


Tambah beliau, jumlah syarikat yang ada di negara ini pula banyak terbabit dalam sektor yang pada mata pelabur antarabangsa tidak memberi pulangan tinggi termasuk perbankan.


Oleh itu ia menyebabkan pelabur membuat pilihan lebih baik untuk mengalih pelaburan ke negara lain yang mengalami pertumbuhan lebih besar.


Justeru, Rafizi berkata negara ini perlu beralih kepada industri tertentu seperti peralihan tenaga yang mampu dilihat memberikan pulangan lebih baik pada masa akan datang.

"Kita tengok pasaran saham, bila kita lancarkan Pelan Peralihan Tenaga memang ada lonjakan pembelian saham kerana pelabur merasa teruja yang ini adalah sektor yang mereka rasa pasa masa akan datang beri pulangan lebih besar dan kita berharap banyak syartikat kita mula menyertai (sektor itu)," katanya.


Dalam pada itu, beliau menjelaskan kejatuhan ketara nilai ringgit bermula pada tahun 2015 akibat kebimbangan pelabur dan pasaran ekoran skandal 1MDB.


Kata beliau, dalam keadaan nilai ringgit tidak pernah pulih sepenuhnya daripada kejatuhan 2015, mata wang negara kini dipengaruhi pula oleh dasar monetari AS dan kelembapan ekonomi China.


"Untuk jangka masa pendek, kita wajar menilai secara objektif kemampanan ekonomi negara dan tidak melatah dengan mengambil jalan singkat," jelasnya.


Pada masa sama, Rafizi memuji Bank Negara membuat keputusan yang tepat dengan tidak menaikkan kadar faedah atau tidak mempertaruhkan rizab simpanan negara untuk mempertahankan ringgit.


"Untuk jangka masa panjang, usaha menstrukturkan kembali ekonomi ke arah nilai tinggi perlu dipercepatkan seiring dengan langkah kerajaan mengukuhkan kedudukan fiskal negara.


"Kedua-dua langkah ini akan menjadi kayu ukur yang dirujuk pelabur dan pasaran untuk menilai potensi lonjakan ekonomi negara di masa akan datang.


"Penstrukturan ekonomi negara juga penting untuk memastikan eksport negara tidak terlalu bergantung kepada sentimen ekonomi dunia, contohnya sekarang, akibat sentimen ekonomi dunia yang menyederhana, eksport elektronik negara adalah perlahan yang mempengaruhi nilai ringgit," katanya.

0 comments

Recent Posts

See All

コメント


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page