top of page

Naik had umur pengguna media sosial, eKYC tangani salahguna identiti

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Oct 24
  • 2 min read
ree

Oleh: Hasbul Ahmad


Cadangan kerajaan untuk menaikkan had umur penggunaan media sosial daripada 13 kepada 16 tahun serta pelaksanaan sistem pengesahan identiti digital atau electronic Know Your Customer (eKYC) disifatkan sebagai langkah penting dalam membendung gejala sosial dan keruntuhan moral dalam kalangan remaja.


Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkata, langkah tersebut bukan sahaja dapat mencegah penyamaran umur dalam pendaftaran akaun media sosial, malah membendung salahguna identiti.


"Sekarang ini di sekolah murid-murid sudah mula menggunakan tablet dan komputer riba. Walaupun di sekolah boleh dikawal, tetapi di rumah perlu ada didikan.

Aminolhuda Hassan
Aminolhuda Hassan

"Dalam konteks cadangan menaikkan had umur penggunaan media sosial kepada 16 tahun serta pelaksanaan eKYC, langkah ini sangat baik untuk mengelak penyamaran umur.


"Jika sistem eKYC digunakan seperti penggunaan kad pengenalan (IC) untuk subsidi minyak, ia lebih berkesan. Contohnya, apabila seseorang menggunakan IC untuk membeli minyak bersubsidi, kerajaan dapat mengesan jumlah penggunaan.


"Begitu juga dengan media sosial bila ada pengesahan melalui IC, lebih mudah untuk mengawal umur pengguna sebenar," kata Aminolhuda kepada Suara Keadilan.


Mantan Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor ini berkata, aspek penguatkuasaan mesti tegas, termasuk terhadap pengguna yang memberikan maklumat palsu dan penyedia platform yang gagal mematuhi peraturan kawalan umur.


"Jika seseorang mendaftar menggunakan maklumat palsu, tindakan harus diambil. Begitu juga terhadap penyedia platform yang lebih menumpukan kepada keuntungan daripada tanggungjawab sosial," tegasnya.


Aminolhuda yang pernah berkhidmat sebagai Guru Penolong Kanan di Maktab Sultan Abu Bakar berkata, kemerosotan moral dalam kalangan remaja turut berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk persekitaran media sosial, pengaruh rakan sebaya, pergaulan tidak terkawal serta kelemahan kawalan ibu bapa.


"Persekitaran ini termasuklah media sosial. Orang sentiasa terdedah dengan kandungan negatif. Rakan sebaya, pergaulan dan rumah yang longgar kawalannya, semua ini menyumbang kepada keruntuhan moral.


"Guru sering menjadi beban apabila masyarakat menyalahkan sekolah atas masalah pelajar, sedangkan masa pelajar di sekolah hanyalah enam atau tujuh jam sehari.


"Selebihnya mereka bersama keluarga dan rakan di luar sekolah. Jadi siapa sebenarnya yang lebih bertanggungjawab?" katanya.


Justeru itu beliau menekankan peranan ibu bapa dan masyarakat dalam membentuk sahsiah anak-anak, bukan hanya menyerahkan tanggungjawab kepada sekolah semata-mata.


alam masa yang sama katanya, isu moral dan disiplin pelajar memerlukan gabungan pendekatan pendidikan dan penguatkuasaan undang-undang.


"Pemimpin perlu memainkan peranan melalui undang-undang di peringkat Parlimen atau negeri. Ketika saya membahaskan isu rotan di Parlimen, ada pihak kata rotan tidak perlu, tetapi rotan untuk mendidik, bukan untuk mendera. Ia hukuman mendidik yang disertai penjelasan," ujarnya.


Aminolhuda juga menegaskan pentingnya sikap saling menegur dalam masyarakat bagi membentuk generasi yang berakhlak.


"Apabila orang menegur anak kita, sepatutnya kita berterima kasih kerana mereka prihatin. Yang menegur pula mesti menggunakan cara betul, bukan untuk tunjuk diri lebih baik," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page