
Naib Ketua Cabang KEADILAN Batu, Rozan Azen Mat Rasip (gambar, tengah) kesal dengan penahanan polis ke atas dirinya dan dilokap semalaman pada 14 Oktober lalu ketika menyeru pengundi menyemak status dan tempat pengundian mereka.
Menurut Rozan, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dan telah bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis semasa disoal siasat di lokasi.
"Saya amat kesal kerana telah ditahan oleh pihak polis. Saya tidak melakukan sebarang kesalahan dan telah bekerjasama sepenuhnya dengan pihak polis semasa disoal siasat di lokasi, dan diminta hentikan kempen (semakan daftar pengundi) yang saya sedang lakukan," katanya dipetik.
Rozan ketika ditahan sedang menyeru pengundi di parlimen Batu untuk menyemak daftar pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya setelah beberapa pengundi di parlimen itu mengadu nama mereka telah ditukar kawasan bersebelahan tanpa kebenaran.
Katanya, kempen yang dilakukan beliau adalah selaras dengan kempen kesedaran oleh pihak SPR sendiri dan Kerajaan Sementara BN - PN sebaik sahaja Parlimen dibubarkan8 Oktober lalu.
Rozan juga mendakwa berlaku kekasaran dalam penahanannya sehingga mendapat kecederaan ringan di beberapa bahagian badan.
Sementara itu, mantan Ketua Cabang KEADILAN Batu, Tian Chua berkata, tangkapan tersebut tidak perlu dilakukan kerana bukan kes jenayah.
"Saya rasa ini adalah penyalahguna kuasa. Apa yang Rozan lakukan adalah satu perkara biasa untuk menyemak pengundi
"Kalau salah pun tidak perlu ditangkap dan ditahan. Saya rasa polis telah bertindak melampaui tahap undang undang dan kemunasabahan.
"Penahanan dia ditangkap semasa tengah merayu orang ramai menyemak status pengundi. Saya rasa ini bukan satu tindakan jenayah. Tangkapan dan penahanan di dalam lokap agak melampau," katanya dipetik Sumberkini.
Rozan dibebaskan tengah hari semalam dengan jaminan mulut oleh Tian Chua. Menurut kenyataan di Facebooknya, beliau akan membuat kenyataan media mengenai penahanan yang tidak wajar dan penjelasan kejadian sebenar yang telah berlaku.