Nahas helikopter FDS: KKM utamakan kebajikan waris - Dr Dzulkefly


Kebajikan keluarga mangsa dan keselamatan petugas kesihatan menjadi keutamaan Kementerian Kesihatan (KKM) susulan tragedi nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) di Long Lellang, Sarawak semalam.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad (gambar) berkata kementerian turut memberi perhatian kepada kesinambungan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan pedalaman yang bergantung kepada perkhidmatan FDS.
"Seluruh keluarga besar KKM menyelubungi rasa pilu dan sedih atas tragedi berkenaan, selain merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga petugas kesihatan dan kru penerbangan yang terlibat.
"Tragedi ini pastinya adalah satu ujian yang amat berat dengan kehilangan yang amat dirasai khususnya oleh keluarga dan kami semua di KKM," katanya pada sidang media khas hari ini.
Dzulkefly berkata tiga perkara menjadi fokus dan keutamaan mutlak KKM ketika menghadapi situasi itu iaitu keselamatan petugas kesihatan yang menjalankan FDS, memastikan kebajikan keluarga dan waris mangsa terbela serta meneruskan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti khususnya di kawasan pedalaman.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 petang semalam, helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram.
Kelima-lima mangsa iaitu Kapten Zainol, Dr Ainul Baraah Kamaruddin, penolong pegawai perubatan Alexson Adit serta dua jururawat, Debra Moset dan Jessie Paya, disahkan meninggal dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri, Galong Luang mengesahkan kesemua lima individu terbabit maut berdasarkan laporan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta KKM.
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sebelum ini turut mengesahkan menerima notifikasi berhubung kejadian itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada pukul 3.58 petang.
Mengulas perkembangan susulan tragedi itu, Dzulkefly berkata pasukan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) KKM telah digerakkan bagi mendampingi ahli keluarga mangsa.
"Pasukan mental health dan psychosocial support (MHPSS) KKM juga telah kami gerakkan dan kini sedang mendampingi ahli keluarga bagi memberikan perkhidmatan Psychological First Aid (PFA) dan sokongan emosi yang berterusan.
"Ia termasuk kepada pasukan FDS itu sendiri, (bagi menangani) post trauma incident ini," katanya.
Dari sudut kebajikan, beliau berkata bantuan kewangan kepada keluarga mangsa akan disalurkan melalui tabung kebajikan KKM, selain sumbangan ex-gratia kerajaan.
Sementara itu, operasi membawa keluar mangsa dari lokasi kejadian sedang dijalankan pasukan penyelamat membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan JBPM.
Hospital Miri pula telah bersedia sepenuhnya di semua peringkat bagi menerima mangsa sebaik sahaja mereka dibawa keluar dari lokasi kejadian.
KKM turut memberi jaminan akan terus bersikap telus dengan menyalurkan maklumat rasmi berhubung perkembangan kejadian dari semasa ke semasa selepas mendapat pengesahan pihak berkuasa.
Dzulkefly meminta orang ramai menghormati sensitiviti keluarga mangsa dengan tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau imej yang tidak sahih.
Beliau turut mengajak seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar urusan operasi mencari dan menyelamat dipermudahkan.
"Saya pohon seluruh rakyat Malaysia menitipkan doa agar urusan operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan pada hari ini untuk dipermudahkan Allah SWT," katanya.




Comments